Mungkin aku seorang diri tidak merayakan Hari Merdeka ke 53. Di hari cuti awam ini, aku pergi kerja seperti hari-hari biasa. Tiada perasaan keistimewaan pada hari ini. Itulah penyataan yang jujur. Di rumahku Jalur Gemilang tidak berkibar.
Bukan aku tidak menghormati sang bendera namun BANDERA yang membakarnya di hadapan Kedutaan Besar Malaysia di Jakarta, tidak membakar semangat rakyat Malaysia yang tampaknya apatetik terhadap pengulangan tragedi penghinaan itu.
Mengapa rakyat gagal merasakan maruah kebangsaan mereka tercabar dengan perbuatan BANDERA itu?
Sejauh mana kepatriotan rakyat Malaysia? Tahun ini, makin kurang bendera-bendera Jalur Gemilang berkibar di mana-mana. Aku seperti mereka barangkali kurang patriotik.
Ada rasa keraguan tentang tahab kemerdekaan Malaysia dan penghayatannya dalam diriku meskipun aku melaluinya berulangkali hari-hari sambutan perayaan hari kemerdekaan Malaysia itu.
Benarkah kita sudah merdeka sepenuhnya?
Beberapa tahun yang lalu, kerana sesuatu hal, aku terpaksa berjumpa sesorang timbalan menteri di JPM. Aku sungguh terkejut melihat ramai orang bule(putih) bekerja sebagai penasihat Kerajaan Malaysia, dari Pertanian, Ekonomi hingga Kewangan. Semuanya menggunakan orang putih. Nama mereka tertera di pintu-pintu dengan bidang kepakaran mereka. Selepas 50 tahun "merdeka", kita masih menggunakan penasihat-penasihat seperti residen-residen British untuk raja-raja Melayu di abad ke 19.
Selagi ada penasihat asing di bumi Malaysia, minda pemimpin Malaysia belum MERDEKA. Kalau pemimpin tidak merdeka, bagaimana bangsa dan negara boleh dikatakan merdeka?
Sikap dan tindakan kita masih belum merdeka dimana kita masih bergantungan pada nasihat luar untuk mengendali pemerintahan di Malaysia. Ini cukup memalukan. Negara yang merdeka tidak bergantung pada penasihat luar/orang puteh. Ianya tidak perlu berrlaku dalam Malaysia Merdeka di abad ke 21 ini.
Kapan kita benar-benar merdeka?
Langkawi 31 Ogos 2010.