Bab 0. Kosong.
Sungguh pun telah banyak kali diperingati, masih ramai yang belum menyedari bahawa kosong itu bukan sekadar angka. Dulu sebelum dia mengenali kosong sedalam kini, dia pun beranggapan demikian. Melulu angka. Kalau sekadar angka, tentunya ia hanya layak dipanggil sifar. Jelas, sifar ialah angka yang tidak mempunyai sebarang magnitud. Tiada nilai positif atau pun negatif. Maka sifar itu, dalam maksud ini, sama dengan kosong. Bahasnya. Tetapi kosong itu tidak sentiasa bermakna tidak ada. Justeru sebaliknya, kosong itu bisa ada. Ada dan tiada ada pada kosong. Lebih jauh daripada itu, kosong tidak bersifat sekadar sifar atau nol. Secara semantik, maknanya lebih luas dan mendalam daripada sifar. Betapa sekali pun sifar diolah dalam penampilan naunsa persuratan, seseorang penulis tidak mungkin mengungkap ‘kesifaran minda’ kerana sifar itu tidak selalu dapat menganti kosong sesuka lidah yang ingin bermadah.
Sungguh pun telah banyak kali diperingati, masih ramai yang belum menyedari bahawa kosong itu bukan sekadar angka. Dulu sebelum dia mengenali kosong sedalam kini, dia pun beranggapan demikian. Melulu angka. Kalau sekadar angka, tentunya ia hanya layak dipanggil sifar. Jelas, sifar ialah angka yang tidak mempunyai sebarang magnitud. Tiada nilai positif atau pun negatif. Maka sifar itu, dalam maksud ini, sama dengan kosong. Bahasnya. Tetapi kosong itu tidak sentiasa bermakna tidak ada. Justeru sebaliknya, kosong itu bisa ada. Ada dan tiada ada pada kosong. Lebih jauh daripada itu, kosong tidak bersifat sekadar sifar atau nol. Secara semantik, maknanya lebih luas dan mendalam daripada sifar. Betapa sekali pun sifar diolah dalam penampilan naunsa persuratan, seseorang penulis tidak mungkin mengungkap ‘kesifaran minda’ kerana sifar itu tidak selalu dapat menganti kosong sesuka lidah yang ingin bermadah.
Setelah sekian tahun meneliti, kosong ternyata memberi makna yang cukup mencabar. Kosong itu, menurutnya, angka ajaib. Tanpa kosong tiada akan wujud matematik. Matematik itu, katanya, juga sains. Sains yang memperkatakan angka, kuantiti dan ruang. Jadi matematik itu tidak lengkap jika ianya tidak memiliki kosong. Menurut ahli matematik, semesta itu adalah ekspresi matematik. Kononnya tuhan berbahasa dalam teorem matematik. Kenyataan yang tidak dikongsi bersama biologis dan para pengkaji genetik. Mereka mendabik minda bahawa tuhan bertutur dengan bahasa genetik pula. Pasti tuhan itu multi-linguist. Pada yang percaya padaNya, Dialah pencipta segala bahasa. Sehingga tidak perlu mempertikai bahasa apa yang Tuhan gunakan, bahasa gen atau bahasa matematik. Kerana dia pejuang kosong, dia hanya nampak kosong sebagai suatu entiti yang punya pengaruh dan kuasa. Matematik tanpa kosong, katanya, ibarat lautan tanpa penghuni. Kendati pun, sains tidak akan selesa tanpa kehadiran kosong dan segala sifat-sifat jatinya. Mana kala semesta tanpa kosong pasti menghilangkan kewujudannya. Mengapa tidak; titik sifar paling mutlak itu memulakan Ledakan Raya yang menciptakan semesta. Di titik sifar itulah pula berakhirnya kiamat ala sesetengah ahli fizik-nuklear. Jadi kosong itu, menurutnya, yang awal dan tentu pula yang akhir.
Maka kerana keajaiban angka kosong atau sifar itu, seluruh dunia sepatutnya menyatakan atribut kepada Al-Khwarizim, ahli matematik Persia di zaman kegemilangan keilmuan Islam yang meletakkan kosong pada landasan yang betul. Tanpa sumbangannya, tamadun Barat tidak akan mengenal angka kosong. Sayang, perakaman rasa terhutang budi amat jarang sekali diketengahkan dalam kebanyakan wacana seolah-olah ingin menghapuskan sumbangan besar kosong terhadap kemanusian. Peradaban Greko-Roman mengembangkan matematik mereka tanpa angka kosong. Kosong tidak diberi lambang oleh ilmuan matematik Greek hingga dibiarkan kosong tanpa sebarang simbol. Itulah bahasan orang yang ingin memperkecilkan kosong. Kosong itu tidak penting. Greek dapat membina Parthenon tanpa mengenal angka kosong. Melalui kalkulus, cendikiawan Greek mengetepikan kosong. Sebab itu, kosong diperkecilkan sumbangannya, menurut sesetengah pedebat. Tamadun besar dunia pernah wujud tanpa kosong. Demikian bahasan mereka. Dia tidak setuju sama sekali. Bukan kerana namanya sama dengan kosong. Tetapi kerana kosong itu banyak dan besar sekali sumbangannya pada kemanusiaan.
Memang benar pada umumnya, kosong itu sama dengan sifar. Tapi ada kala, ianya tidak. Apa lagi bila kosong itu menjadi dia; bukan lagi ia. Bagi dia, sampai mati pun tidak boleh berpisah dengan kosong. Ada kuasa magnet padanya. Ke mana saja dia pergi, kosong sentiasa ikut, terus lengket pada dirinya. Meskipun kosong itu selalu disalah anggap, kononnya tidak berharga. Kosong itu baginya cukup unik. Tempo-tempo, kosong itu mampu juga mengundang rasa kecewa yang bukan main. Kosong, bukan sahaja terbatas pada angka yang kerap dibawa balik pasukan bola sepak negara dalam satu dekad kebelakangan. Saku kosong pada suatu titik hidupnya hanya mampu mengisi air kosong ke dalam perut kosongnya. Untung masih ada warung-warung yang membenarkan dia mengisi buku 555 dalam bentuk kredit, perut kosong dilenyapkan dengan makanan pasca-bayar. Hujung bulan, tentunya. Bila mengenang kosong, kadang-kadang memilukan. Kadang-kadang memegunkan. Kadang-kadang menakutkan. Kadang-kadang juga, pengalaman dengan kosong tidak enak dibuatnya. Biarpun demikian, kata kosong itu saban sarapan mendampingi kopi O menjadi kopi O kosong yang bakal membuat dirinya ceria dan aktif sepanjang hari. Kemudian, pada usia separuh abad, kosong dan O, yang kebetulan berkongsi simbol (untuk membezakan, kadang-kadang kosong dipaksa pakai selepang), menjadi begitu akrab dengan dirinya apabila doktor yang dikunjunginya mengesahkan dia seorang pesakit pra-diabetes. Jadi teh O kosong, air ais kosong, milo o kosong menjadi pilihan minuman di masa makan. Profesor Kosong dapat melihat bagaimana kuasa kosong itu mampu mencegah seorang pra-diabetes daripada menjelma menjadi pesakit diabetes tegar. Sesungguhnya dia sentiasa menyedari, kosong dan konsep kosong itu jauh lebih bermakna daripada apa yang tersirat dalam sekilas pandang pada bentuk lahiriahnya.
Nyata sekali dalam pemikirannya, kosong itu tidaklah sekosong angkanya. Fikiran kosong, pemikiran kosong dan pemikiran mengenai kosong itu tidaklah sama. Ketiga-tiganya tidak sama dalam sifat dan tabii kosongnya. Tentu ada isinya di sebalik setiap kosong dan kekosongan. Sungguh keliru bila mengatakan kosong itu tidak memilikki nilai. Contohnya, dibandingkan dengan negatif satu, kosong itu punya nilai. Kosong itu lebih besar nilainya daripada sebarang angka negatif. Sebaliknya, kena gaya, kosong dapat berubah menjadi angka yang tidak terhingga bila ia bercantum dengan satu dan menambah jumlah kosongnya. Atau kadang-kadang, kosong itu boleh menggambarkan kekayaan yang luar biasa dan ketidakterkiraan yang berganda-ganda. Ada kalanya, kosongnya orang miskin itu lebih kaya daripada jutawan. Jutawan yang berhutang berjuta-juta, apabila dihisab, liabilitinya melebihi asetnya, maka saku kosong si miskin itu lebih kaya daripada sang jutawan yang berlebih hutang. Namun jutawan sebenar akan terus menambah kosong untuk menjadi bilionir. Dan seterusnya.
Ada yang mengatakan kosong itu angka mati. Sendirian, kosong itu angka sepi. Angka yang tidak mampu berdiri sendiri. Tetapi bila ia berdampingan dengan pasangannya ternyata ianya hidup. Hidup berganda dan menganda nilainya menjadi bertambah besar dengan hanya menambah jumlah kosongnya. Kata punjangga, sejuta kosong tiada erti tanpa satu. Satu itu Esa. Allah yang satu dan Esalah yang membuat kosong mempunyai erti dan bermakna. Satu duduk di hadapan kosong dapat membuat kosong melampaui infiniti.
Menurut pengkaji, angka kosong tidak dikenali oleh tamadun purba. Tembok Besar Cina pernah dibina tanpa jurutera-juruteranya mengenali angka kosong. Mereka menyedari wujudnya kosong tetapi tidak mencipta simbol untuk angka kosong itu. Roman dan Greek pun serupa. Begitu juga tamadun Aztec dan Maya. Kosong dilupakan seolah-seolah tidak berguna untuk tamadun mereka. Apa ada pada kosong, kata Socrates.
Tidak semua orang menyetujui, kosong itu sepi dan mati. Ada kalanya pula kosong itu menandakan suatu kemerdekaan. Ah, dia selalu diperleceh kerana terus membela kosong. Dalam satu perbualan, dia pernah ditanya atas kenyataannya itu. Kosong menandakan kemerdekaan.
“Bagaimana mungkin angka kosong boleh menandakan kemerdekaan atau boleh dikaitkan dengam sebarang aspek kemerdekaan?”
“Anda tak nampak kaitannya?” Tanya Profesor Kosong.
“Kosong itu tidak ada apa-apa sedangkan merdeka maknanya bebas. Saya tidak lihat kaitannya. Kosong dan bebas.”
“Anda keliru bila membatasi erti kemerdekaan itu terhad pada sintaksnya sahaja.”
“Apa maksudnya merdeka Profesor Kosong?”
“Yang dimaksud ialah kemerdekaan kewangan.”
“Cakaplah, bebas hutang. Nak sedap cakap aje.”
“Sama sahaja. Merdeka atau bebas. Untuk hidup canggih kita perlu berhutang. Hutang pinjaman rumah, kereta, plasma TV, komputer, kad kredit dan segala peralatan elektrik. Kita diikat dengan belunggu hutang.”
“Lari kat tu pula.”
“Yalah, kita ini hamba hutang. Tidak merdeka. Kita bekerja untuk membayar hutang dan membebaskan kita daripada hutang.”
“Aku masih bayar hutang pinjaman pendidikan.”
“Dah bekerja berpuluh tahun, masih tak habis bayar. Itu bererti kau belum merdeka. Kau masih lebih kecil dari angka kosong.”
“Pandailah kau mau memenangkan kosong.”
“Cuma bayangkan perasaan kau ketika kau menerima penyata akaun pinjaman rumah bila ianya menunjukkan angka kosong tercetak di barisan terakhir pada hari kau membayar ansuran terakhir. Bagaimana persaaan kau?”
“Lega.”
“Ya, lega dan puas, bukan? Bermakna bebas dan merdeka dari belenggu hutang. Dalam kata Inggeris, finanacially independent. Lihat bagaimana kosong dapat membawa kebahagiaan dan kepuasan malah suatu kejayaan. Kejayaan untuk mencapai angka kosong. Sasaran setiap penghutang yang beretika adalah kosong. Secara sah, dinyatakan bebas sebagai hamba hutang dilambangkan dengan angka kosong. Detik pencapaian angka kosong itu menjadi matlamat dimana kosong menjadi piala kemenangan. Di Malaysia sahaja, berjuta-juta orang mengejar angka kosong, namun beratus-ribu pula gagal mengejar angka kosong.”
“Siapa pula yang gagal mengejar kosong. Kau ingat gadis-gadis itu mahu mengejar Kosong. Mereka tak pandanglah kau, Kosong maupun angka kosong.”
“Aku katakan beratus ribu yang gagal mengejar atau menuju ke angka kosong.”
“Tadi juta sekarang beratus ribu. Yang mana betul?”
“Yang mengejar kosong itu berjuta-juta tetapi yang gagal mencapai angka kosong beratus-ribu jumlahnya. Malah saban hari berbilion-bilion manusia, organisasi, korporat malahan kerajaan-kerajaan pun mengejar kosong.”
“Ah, kau merepaklah. Hanya mau membela nama kamu.”
“Lihatlah nama penghutang yang diisytiharkan bankrap. Mereka itu gagal mencapai angka kosong. ”
“Bagaimana pula kerajaan-kerajaan yang mengejar kosong?”
“Kebanyakan kewangan kerajaan-kerajaan di dunia beroperasi dalam defisit. Saban tahun mereka cuba mengurangkan jurang defisit mereka. Defisit kewangan akan berakhir bila mereka berjaya mengurus kewangan sehingga mencecah angka kosong. Sebab itu kosong itu agung.”
Demikianlah caranya Profesor Kosong membela citra kosong itu. Dia kerap juga dalam sesi omong kosong di kafetaria dan dulunya di warung, mengulangi bagaimana dia memperolehi namanya itu. Kosong Bin Kasim. Kadang-kadang, ada kawan yang sudah dengar, Profesor Kosong lupa. Dia kerap mengulangi ceritanya. Ada kawan yang cepat memotong agar dia jangan mengulangi semula cerita sedih itu. Kawan baru, sebelum mereka bertanya, dia akan beritahu tentang bagaimana dia memperolehi nama seunik itu.
Cerianya panjang. Tetapi dia gemar memberi versi pendek. Pada hari dia dilahirkan, ibunya meninggal dunia akibat komplikasi bersalin. Urinya tertinggal di dalam rahim. Perdarahan rahim terlalu banyak. Dalam keadaan kelam-kebut itu, bapanya ditanya apakah nama yang hendak diberikan. Tetapi fikiran ayahnya lagi kusut. Barangkali ayahnya menjawab, kosongkan. Maksudnya, dia belum ada nama untuk anaknya itu. Dia lagi serabut dan tegang. Tidak boleh berfikir. Namun petugas yang mendaftar tidak mendengar imbuhan ‘kan’, hanya mendengar perkataan kosong. Rupa-rupanya sepanjang hayat dia merana kerana nama Kosong itu. Sering disembunyikan perasaan merananya itu. Dia sedia tahu dia tidak boleh berpisah dengan kosong. Daripada terus merana kerana nama, dia berfikirkan positif lantas kerap menghibur orang dengan nama ‘Kosong’nya itu.
Beberapa tahun selepas ibunya meninggal dunia, ayahnya mengikuti jejak ibunya kembali ke rahmahtullah. Tinggallah Kosong keseorangan sebagai anak yatim lagi piatu. Kebetulan pak cik dan mak ciknya tidak ada anak. Sebelum meninggal, semasa masih ayah lagi sakit, dia sudah menyerahkan penjagaan Kosong pada mereka. Sebab itu dari kecil seusia tiga tahun, dia sangat akrab dengan kosong. Baik dengan namanya maupun maknanya.
Seperti kanak-kanak lain di zamannya, mereka tidak pergi tadika, taska maupun taski. Di sekolah rendah, semasa darjah satu, budak-budak belum mentertawakan namanya. Mereka belum mengenal kosong. Darjah dua bermulalah gurauan yang paling tidak disenanginya. Tiap kali namanya dipanggil, pasti akan diikuti gemuruh ketawa dari kawan-kawan sedarjahnya. Lambat laun dia terbiasa dengan gelak ketawa dan senda gurau kerana keistimewaan namanya. Malah dia, entah bila, mencipta ikonnya sendiri. Dengan membulatkan jari telunjuknya bergadingan dengan lentikan ibu jari, ikon kosong selalu dipaparkan pada khalayak. Dia akan menjulang ikonnya ke udara, dari geram bertukar dengan lambang kemegahan pada simbol kosong itu.
Di tingkatan satu, guru kelas cuba mengatasi gurauan rakan-rakannya dengan memanggilnya ‘K’. Namun ‘K’ tidak betah bertahan di lidah rakan-rakan sekelas. Konsonan ‘K’ itu gagal mengganti Kosong. Mereka lebih gemar memanggil Kosong. Di universiti, dia memperkenalkan dirinya dengan panggilan Kay namun rakan-rakan di kampus lebih selesa memanggilnya dengan Kosong.
Akhirnya dia menyedari penggantian nama tidak menyelesaikan masalah interaksi sosial akibat keunikan namanya, dia pasrah pada keadaan. Di sebalik kepasrahan itu, rupa-rupanya timbul kekuatan dari dalam dirinya sendiri. Kekuatan itu seolah-olah menjana pembinaan kematangan. Dan kematangan yang menjelma itu kian kukuh dalam dirinya hingga bertahta teguh dalam keperibadiannya. Dia bukan sekadar menerima hakikat yang dia tidak mungkin berpisah dengan Kosong sebagai identiti namanya, dia malah berjaya mengangkat nama itu ke satu tahab kemaknaan tertinggi. Kosong itu dinaik taraf di puncak perlembagaan dirinya menjadi kukuh dan teguh tanpa ada peluang kepada sebarang kalimat yang mampu menjatuhkan keagungan nama kosong itu dalam dirinya. Dia terus mengangkat kosong ke aras kehebatannya yang terjulang. Kosong itu unik dalam penampilannya. Kosong hanya memerlukan satu untuk menjadi sepuluh. Dengan cuma bergandingan dengan satu dan menambah kosongnya, dari sepuluh menjadi seratus. Tambah terus kosongnya menjadi seribu, satu juta, satu bilion, satu trilion dan satu .......
Sebab itu kemudiannya dia jadi kagum dengan angka kosong. Semasa kecil dan remajanya dia segan kadang-kadang benci dengan nama itu. Sejak berjaya membina kematangan keperibadian, persepsinya terdadap kosong berubah sama sekali. Dia malah menambah misinya untuk merubah persepsi orang lain terhadap kosong. Betapa hebatnya kosong itu. Kosong itu rupanya cukup berkuasa. Kuasa kosong itu begitu besar dengan hanya bergabung dengan angka satu dalam domain binari, kosong berperanan besar dalam dunia digital. Jika pujangga yang mempercilkan kosong dengan bermadah, ‘sejuta kosong tiada erti tanpa satu’, berada dalam domain binari, maka dia perlu menarik balik cemuhannya. Dalam domain binari, kosong memilikki kuasa dan berat yang sama dengan satu. Hilangnya satu kosong sahaja mampu memperok-perandakan satu dunia. Dunia siber adalah buatan dan aplikasi sistem binari yang menangkat angka kosong sama berat dengan angka satu. Kosong berkongsi keangungan dengan angka satu. Dunia elekronik dan siber bergantung pada sistem binari yang menagungkan hanya dua angka; satu dan kosong. Sistem binari 101011001000110011100010 itu menjadi asas cip elektronik yang membawa kita masuk ke alam maya, separuh maya dan malah alam nyata dengan segala realitinya. Angkasaraya tidak mungkin diterokai tanpa penyertaan kosong dalam sistem binari. Belum lagi disebut peranan kosong dalam pencaturan kuasa ketenteraan cukup menakutkan. Dengan keamanan dunia sebagai alasan, kosong diperalat untuk mengendali peluru berpandu antara benua yang mampu membawa kemusnahan total pada bumi itu sendiri. Demikianlah besar kuasa kosong itu. Baik maupun buruknya.
Orang Melayu, menurut Profesor Kosong, gemar menekankan kosong daripada aspek negatifnya dalam pelbagai simpulan bahasa. Menziarahi anggota keluarga dengan tangan kosong selalu dihindari. Pada orang yang suka bercakap dan mencanangkan idea pecisan, mereka dipanggil tin kosong. Cakap-cakap kosong dimaksudkan perbincangan yang tidak mendatangkan faedah. Bila seseorang belum mempunyai teman hidup, dia masih kosong. Tentu kosong yang terakhir ini bermaksud sepi dan berseorangan. Namun metafora modern memperlihat keunikan kosong bila digandingkan kosong dengan perkataan yang berkonatasi negatif, ia mungkin bertukar menjadi sebagai juara yang dimuliakan. Dengan gandingan ini, kosong tiba-tiba memiliki gagasan dan wawasan besar. ‘Zero defect’ kecacatan sifar menjadi sasaran syarikat-syarikat multi-nasional yang berjaya meningkatkan keuntungan sambil bermegah dengan sijil waranti melebihi lima tahun atas perlaksanaan kecacatan sifar itu. Dengan rajin dan tekun, gadis-gadis Melayu yang berkerja dengan kilang-kilang semi-konduktor dilatih dengan jayanya menyempurnakan misi dan inspirasi organisasi dengan menepati sasaran kesalahan sifar. Tiada produk akhir yang ditolak kerana ketidaksempurnaannya. Mereka dilatih menjadi unsur dalam sistem yang menobatkan kesempurnaan. Suatu penurunan kualiti unggul yang dianuti oleh pekerja-pekerja bawahan sambil mencerminkan perwatakan individu pengurusan yang baik. Dengan lebih luas lagi, golongan perfectionis baik yang menerajui korporat maupun organisasi profesional dan juga sektor awam, akan mengungguli kesalahan sifar sehingga angka kesalahan yang bernilai kosong itu akan membuat kerugian dapat dielakkan, bangunan tidak runtuh, kapal terbang tidak jatuh, cerun bukit di kawasan perumahan atau di lebuhraya tidak runtuh, paip air tidak bocor di siling bangunan baru kerajaan maupun di bangunan Parlimen yang baru diselenggara berjuta-juta ringgit, pesakit tidak dipotong kaki dan payu dara yang salah, beratus-ratus pelajar ciribirit dan sakit perut akibat keracunan susu percuma dan lain-lain lagi. Betapa hebatnya dunia ini bila andaikata kita hidup mengamalkan kesalahan sifar. Di sektor awam kosong dapat menyumbang kepada persepsi dan penilaian orang luar terhadap indeks kebobrokan sesuatu negara. Cuba bayangkan apa jadinya bila kosong berganding dengan rasuah, jenayah dan kemiskinan. Kosong rasuah atau rasuah kosong menjadi idaman BPR. Barangkali tutuplah kelak organisasi itu. Bila Malaysia mencapai korupsi kosong kita mampu mengungguli negara-negara Eropah atau jiran selatan kita; nama Malaysia dijulang pujian dengan kaitan angka kosong itu. Kosong yang dimuliakan. Demikian juga dengan ungkapan Kosong Jenayah. Apa lagi dengan kemiskinan sifar. Kini kita masih bergelut dengan setinggan sifar. Lebih hebat lagi bila mencapai kematian sifar. Utopia apakan itu jika tercapai Kematian Sifar. Profesor Kosong sangat berminat untuk berkongsi pemikiran mengenai utopia itu dengan timbalannya Dr Ada.
Sedikit sekali orang beranggapan kosong itu suci. Bagi Profesor Kosong, kekosongan yang berisi itu merupakan adhidharma. Menikmati zat kekosongan itu adalah suatu kesedaran dalam penyatuan segala unsur. Nikmat kosong hanya terhirup dalam penyucian jasad di kala jiwa dan roh menjadi kosong-plong dalam peringanan jasad yang akhirnya menemukan titik kosong. Setiap yang terfikirkan itu; kosong - yang memerlukan isi dan pengisian. Namun titik kosong itu suatu utopia tanpa sejuta warna, tanpa lara menemani deria sesentuh rasa dan haruman wangian yang mengusik bau syahdu dan tiada getaran nada yang mengasyikkan di gegedang telinga. Suatu maya tanpa kedunguan, kebodohan maupun kepintaran atau keserbatahuan. Kosong mutlak yang sebegitu tidak tercabar. Itulah kosong yang suci, menurut Profesor Kosong. Jiwa yang kosong tidak mungkin mencapai titik kosong itu. Jiwa kosong tidak punya makna pada jasad yang berisi. Apalagi bila jasad itu memilikki roh yang kosong. Roh kosong ada dwi makna atau lebih. Dia tahu jangan diusik roh kosong itu kerana ia atau dia punya kuasa kosong tersendiri yang amat dahsyat.
No comments:
Post a Comment