Sunday, July 26, 2009

Mengusir mati (PERGILAH KAU WAHAI MATI!)



MENGUSIR MATI
(pergilah kau wahai mati!)

Mati.....
Pergilah wahai mati, jangan hampiri
Diri tak sudi, mahu diusir itu mati
“Aku mahu hidup seribu tahun lagi”

Diri tak mengerti tentang hidup
Tentang maknawi hidup
Apa lagi mengenai semantik mati
Diri tak peduli
“Aku kepingin hidup seribu tahun lagi”

Biar fatalis menyambut ole-ole mati
Hadiah penderita yang merindui mati
Silakan mati....
Bingkisan maut yang dinanti-nanti
Dikau salah alamat, diri tak sudi
Diri bukan penanti mati
“Aku nak hidup seribu tahun lagi”

Mengapa dicari bahagianya mati?
Tanya diri lagi,
Kecuali jiwa mati sebelum jasad kembali
Bahagia dunia yang diri cari
Biar diri kekal imortal
dan seboleh-bolehnya abadi
“Aku pinta hidup bahagia seribu tahun lagi”.

Diri penolak gamitan mati
Persetan! Mati tak punya erti
Diri penganut pembenci mati
Bahagia hidup kebendaan sejati
Nyawa terhirup dadah ektasi
Nikmat lidah arak di kecapi
Dosa ditambun segunung tinggi
Malah bangga mungkar diagungi
Apa kau peduli
“Karena aku percaya bakal hidup seribu tahun tahun lagi”.


Kuah, Langkawi
4.9.2007
Hedonisme amalan globalisasi, gelombangnya disahut, sebahagian daripada kita, sepenuh hati.

Wednesday, July 22, 2009

RESENSI PANGGIL AKU MELAYU




-->
Panggil Aku Melaju..bukan meLAYU.
19Jul09
Sudah lama saya tidak menulis. Kekangan masa atas tugasan sekolah membantutkan ruang untuk berbicara di ruangan ini. Semalam baru sahaja berlangsungnya Karnival Sukan Sekolah SMKBB. Bertugas sebagai penjaga masa di balapan telah membuatkan hari ini kulit terasa pedih semasa mandi setelah disimbahi dengan panas terik cahaya matahari semalam.
Malam semalam juga menjadi detik untuk saya mengusaikan pembacaan novel Rahmat Haroun Hashim yang bertajuk Panggil Aku Melaju. Kisahnya memaparkan berkenaan Dr.Ridzuan iaitu merupakan ahli arkeologi dan pejuang bahasa Melayu di salah sebuah universiti tempatan yang telah ditempatkan di IMN atas gangguan mental. Walau bagaimanapun, detik-detik berlalu dan Dr.Ridzuan kembali normal apabila mampu menghujahkan pandangannya berkenaan soal orang Melayu dan bahasa Melayu yang kritis dan logik. Dan ini menjadi petunjuk kepada para pakar perubatan atas perubahan ke atas Dr. Ridzuan yang pada mulanya dikenali sebagai Mr. X.
Konflik turut berlaku di IMN atas berlakunya satu kes pembunuhan yang membabitkan beberapa orang mangsa perempuan yang dibunuh dengan kejam. Dr. Ridzuan merupakan salah seorang suspek yang dituduh melakukan perbuatan tersebut. Mangsa yang dibunuh ini akan dikerat puting payu dara mereka sebagai simbolik kepuasan kepada pemangsa yang disyaki mengalami psikopat.
Apa yang paling mengesankan melalui novel ini adalah ia bukan sahaja sebagai satu karya sci-fi malahan turut memaparkan idea dan hujah yang saintifik terutamanya dalam soal PPSMI. Ternyata ia membuka minda dan boleh membasuh pemikiran individu yang bersetuju akan pelaksanaan PPSMI dalam sistem pendidikan negara. Di samping itu, penulis turut menyelitkan bagaimana asal-usul bangsa Melayu itu mula bertapak di Tanah Melayu. Menjadi intinya adalah perihal bahasa Melayu yang menjadi lingua franca di Nusantara suatu ketika dulu yang kini mula dibobrokan oleh insan-insan yang tidak bertanggungjawab dalam memeliharanya dengan andaian bahasa Melayu tidak bisa membawa kemajuan kepada negara.
Saya berasa puas selepas membaca novel setebal 386 muka surat ini. Banyak input yang berguna sebagai pengetahuan. Kekaguman terserlah kepada penulisnya kerana sebagai seorang doktor perubatan, beliau masih mampu berbicara dan menyanjungi bidang bahasa Melayu dengan baik sekali. Bagi yang baru mengenali Dr.Rahmat Haroun Hashim, bisa juga melewati beberapa karya terawalnya seperti Manuklon, Di.Ar.Ti dan Fitrah Kimiawi.
Tajuk : Panggil Aku Melaju
Penulis : Rahmat Haroun Hashim
Penerbit : Dewan Bahasa dan Pustaka.
Harga : RM30.00

Penulis asal:http://mesejabdul.wordpress.com/2009/07/19/panggil-aku-melaju-bukan-melayu/

Friday, July 17, 2009

ENGLISH AS A TOOL NOT SOUL

Cadangan Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) memperkenalkan Sastera Inggeris kepada pelajar-pelajar Malaysia merupakan sesuatu langkah silap kali kedua yang hanya akan melahirkan lebih ramai pelajar anglofilik yang berrohkan "English". Langkah silap pertama kali adalah melaksanakan PPSMI.

Pelajar-pelajar yang bakal terdidik dalam Sastera Inggeris akan menjadi bidak-bidak dan budak-budak yang mengagumi atau memperhambakan diri terhadap persuratan Inggeris termasuk majalah-tabloid yang mengguna Bahasa Inggeris.

KPM sepatutnya memperkenalkan Sastera Dunia yang ditulis dalam bahasa Inggeris termasuk sebahagiannya Sastera Inggeris.

Sebagai akibat pelaksanaan tersebut, pelajar-pelajar akan secara sistematik akan mengenepikan Sastera Kebangsaan/Malaysia/Melayu, melenyapkan tokoh-tokoh sasterawan tempatan dan mengidolakan kesusasteraan Victorian, Elizabethan, Modernism dan Post-Modernisme.

Sastera Dunia yang ditulis atau diterjemah ke dalam Bahasa Inggeris patut diperkenalkan dalam subjek Apresiasi/Penghayatan Sastera, barulah kita menghasilkan pelajar-pelajar berjiwa global dalam susastra sejagat bukan menjadi BI sebagai roh mereka.

Jadikan BI sebagai alat bukan semangat. Itulah yang patut dianut KPM.

Wednesday, July 8, 2009

"JENAYAH" TERHADAP BAHASA MELAYU

Meskipun PPSMI bakal dimansuhkan pada 2012, namun 'jenayah' terhadap BM telah berlaku. Hairannya jenayah tersebut tidak patut dilakukan oleh pemimpin-pemimpin politik berbangsa Melayu terhadap bahasa mereka sendiri. Mereka sepatutnya menolak dari sejak awal gagasan itu dilontarkan oleh pihak-pihak yang berkepentingan. Sikap tidak yakin diri pada BM menjadi ketara dan nyata sehingga pernah dilaporkan ada upacara rasmi disempurnakan dengan menggunakan BI pada hal seluruh hadirin memahami BM. Malah baca doa pun dalam BI.

Akibat kesan sosio-politik pelaksanaan PPSMI sudak jelas di peti undi. Sayangnya mereka kurang sedar bahawa pengurangan sokongan pengundi Melayu terutama di Johor dan Kedah sebahagiannya disebabkan rakyat Melayu menolak PPSMI. Jatuhnya kerajaan-kerajaan negeri BN tidak pernah dikaitkan dengan pembangkangan perlaksanaan polisi PPSMI.

Dalam mengimbas kembali pengkhianatan terhadap BM pada tahun 2002, saya tidak pasti akan tertebuskah dosa mereka terhadap BM dengan pemansuhan tertunda ini. Maruah BM bukan saja tercalar malah diinjak-injak oleh bangsa sendiri. Bila tahun 2012 muncul, kita akan kembali ke era 1960an di mana bermulanya penggunaan BM untuk mengajar sains dan matematik (ilmu hisab). Betapa ruginya kita terpaksa memulakan semula sesuatu yang telah jalani 49 tahun yang lalu. Bergerak mundur ke belakang memerlukan rundingan dengan UNESCO yang sejak awal lagi pada tahun 2002 mengkehendakki bahasa Ibunda digunakan untuk mengajar semua subjek pendidikan.

SESUNYI MATI SURI

Sesunyi mati (suri)

Sesunyi mati nafas sedangkal henti
Dengupan jantung hilang setuli cuping
Sijil mati ditandatangani
Di liang lahat, jenazah dituruni
Bakal disimpan selamanya mati.

Bagaikan kaleidoskop
arca meninggalkan diri
rhapsodi mati dalam ektasi
seolah terowong kelahiran dilalui kembali.

Seperti arca-arca sutradara
Berputar menurut kronologi
Mengisah diri, dari lahir ditimang umi
Hingga bersemadi ke liang lahat
Laksana bioskop diari kehidupan
Melayang datang klise demi klise
Menayang semula arca segenap peristiwa
Hedonisme yang dianuti jiwa-raga.

Di hujung terowong mati
Tampak sebuah taman, sebatang kali membelahnya
Bila ingin menyeberangi, jatuh tenggelam
Lemas, sesak tersedar dari mati suri
Lalu mengoyak kain kapan,
mengorek tanah merangkak naik ke permukaan
Bila tangan muncul di kuburan basah
Yang bertahlil bertempiaran lari resah
Hanya seorang hamba Allah menerpa berani
Mayat mati hidup kembali.

Sekembali dari mati suri
Sifat berubah tabiat terpuji
Menyendiri di sunyi sepi
Dulu pemabuk, kini alim sejati
Dulu di disko, kini di masjid lima kali sehari
Beberapa lama berlalu
Benar-benar mati kaku
dalam keadaan sujud abadi
Bukan lagi mati suri

Banyak yang alami mati ke dua kali
Di liang lahat, sesak nafas, tercekik mati


Subang Jaya. 21.9.2007