Friday, November 20, 2009

Dari Di.Ar.Ti Ke Panggil Aku Melaju:Suatu Pelayaran Kreativiti Anak Pelabuhan.

Dari Di.Ar.Ti Ke Panggil Aku Melaju:
Suatu Pelayaran Kreativiti Anak Pelabuhan.

Assalamulaikum………….(Terima kasih Tuan Hj Abd Rahim, Pengerusi Majlis)
Yang berbahagia SN Dato Dr Anwar Ridwan, Dekan Fakulti Penulisan Kreatif, ASWARA, tenaga pengajar dan para mahasiswa ASWARA khususnya siswa-siswi Fakulti Penulisan Kreatif.

Saya mengambil kesempatan ini untuk merakam terimakasih saya atas jemputan FPK, ASWARA untuk menyertai program Persona ASWARA. Iannya tentulah suatu penghormatan buat seorang penulis sains fiksyen. Dalam bidang penulisan saya mungkin tidak memilikki sebarang kelulusan yang membolehkan saya dikategorikan sebagai seorang pengajar.
Memangnya dalam bidang perubatan, saya mempunyai kelayakan yang cukup untuk mendidik anggota masyarakat mengenai aspek-aspek pencegahan penyakit dan pengurusan kesihatan. Namun di bidang ilmu penulisan kreatif saya sendiri masih berstatus pelajar seumur hidup. Sebagai penulis jalanan, maksudnya saya tidak mendapat pendidikan formal bagaimana sebaiknya untuk menulis karya-karya kreatif. Jadi saya belajar menulis melalui perjalanan hidup saya. Melalui jalanan inilah saya belajar menulis sekehendak hati dan naluri, bukan sekehendak ilmu atau berdasarkan ilmu-ilmu penulisan yang dinamik dan mutakhir.

Pendahuluan.

Saya mau dikenali sebagai seorang anak bandar pelabuhan Butterworth, Seberang Perai, Pulau Pinang. Pernah nama Bagan Jaya diperkenalkan untuk mengganti nama Butterworth, namun ianya tidak pernah berjaya menambat hati penduduknya seperti mana pada Petaling Jaya atau Subang Jaya.
Saya percaya Butterworth mempunyai keperibadiannya sendiri hingga tidak mudah pihak berkuasa merubah nama-nama yang sudah sebati dengan penduduknya. Di kalangan orang Melayu, Butterworth dikenal sebagai Bagan. Tempat yang saya tinggal di kenal sebagai Bagan Dalam.
Sebagai sebuah bandar pelabuhan, Butterworth dikunjungi kelasi bukan untuk memungah barangan, kerana dulunya pemunggahan kargo dilakukan di dermaga di Tanjung hinggalah kompleks dermaga baru dibina di Perai Butterwoth tetapi untuk mengisi bahan bakar, kapal-kal kargo harus berlabuh di dermaga Bagan Jaya. Jadi Butterworth ketika saya membesar, merupakan bandar persisir yang menyediakan keperluan kelasi dan pelayar. Dari bar, kelab-kelab malam hinggalah sarang-sarang pelacuran, semua siap sedia untuk para kelasi dan pelaut. Saya membesar di kalangan penjenayah, pengedar dadah, pelacur dan pemabuk yang memperkayakan pengalaman dan pengamatan saya pada usia-usia mentah. Bapa saya bekerja sebagai pemandu kren di SPP (Suruhanjaya Pulau Pinag) bergaji RM 260 sebulan untuk menyara dan mengalas sedozen perut disamping beliau mampu membeayai pendidikan kepada kesemua 11 anaknya. Di tahun 60an tiada subsidi buku, apa lagi buku percuma, tetapi ayah saya dengan kerja lembur atau OT, berjaya meletakkan makanan yang sihat di lantai rumah dan buku-buku sekolah untuk kesemua anak-anaknya.

Kami tinggal di Kuaters PPC/SPP merupakan komuniti pekerja pelabuhan dan feri Pulau Pinang yang berbilang kaum. Ianya mewakili semua bangsa-bangsa di Malaysia dan dari segi demografi, ianya pasti memenuhi aspirasi 1Malaysia. Berhampiran Kuaters PPC dipisahkan dengan pagar, adalah Kg Musang yang merupakan sarang pelacuran diihuni orang Cina dan India, juga kira-kira 500meter terdapat Kg Bagan Dalam yang dihuni seluruhnya orang Melayu.
Pengalaman tingal di kawasan merah mendedahkan dengan segala macam watak manusia dari pencuri, penjudi, penagih dadah, pelacur hinggalah kepada pemabuk-pemabuk dan pemaki-pemaki. Malah, sebelum 13 Mei lagi, daerah merah itu sentiasa menyaksi dan menjadi medan bentrukan berdarah antara ras yang bermusim sifatnya di awal-awal tahun 60an. Di usia mentah, pernah menyaksikan mangsa-mangsa dan korban pertempuran ras yang menyayat hati. Masih terbayang kepedihan di mata saya, bila gas pemedih mata itu dibawa angin tersasar menembros jerejak tingkap rumah. Pengalaman hitam ini membujukan saya mengagungi citra damai dalam apa jua situasi. Beberapa imbasan lampau terlalu sadistik yang disebut di forum sebegini.
Disebabkan diulit kemiskinan menahun, pada usia yang muda, saya dan adik-adik saya terpaksa menjaja kueh di sekitar Butterworth untuk ikut membantu ibu. Selepas balik dari sekolah dan makan tengah hari, ibu sudah menyiapkan kueh untuk dijual. Cucur keria dan cucur badak memenuhi dua buah raga kadang-kadang mencapai antara 150 hingga 200 biji kueh. Dijual pada 5 sen sebiji, saya mendapat komisyen 1 sen.

Dengan menjual kueh mendedahkan saya dengan ragam manusia dan suasana. Jika saya tidak menjual kueh, tidak ada sebab untuk saya berjalan jauh dari rumah sekitar 5 batu parameter, meneroka segenap pelosok Butterworth, dari ghetto hingga ke daerah merah, daerah terlarang dan sarang perjudian, pendek kata di mana saja ada pelanggan yang mau mencicipi cucur badan dan cucur keria. Di usia formatif, pendedahan awal mematangkan minda bagaimana berinteraksi dengan pelangan-pelangan saya. Menjual kueh kepada penjudi-penjudi yang bermain pakau di dekat pier. Kekadang bertempiaran lari bila ada kelibat polis mendekati. Di Bagan, kami memanggil polis sebagai dokyok. Di sini, saya mampu melihat bagaimana duit lima sen dari tangan pelacur dan pejudi itu secara magis menjadi halal di telapak tangan saya sebaik sahaja terjadi transaksi jualan kueh-kueh.

Selain kelasi, pelaut, pelacur, pejudi, pengendar dan penagih ganja, penduduk kawasan perumahan JKR, Kilang Bijeh Timah, Kastam, Bomba menjadi sasaran penjualan kueh-kueh saya. Tetapi yang menariknya secara kebetulan, saya akan mengakhiri misi penjualan saya di Hospial Daerah Butterworth. Biasanya bila saya tiba di kawasan hospital sudah masuk ‘tea-time’, jadi para pesakit luar dapat membeli kueh-kueh yang saya jual sampai dihalau dresser bertugas. Kemudian saya akan masuk ke koridor pesakit dalam hospital terutama wad TB (hingga kerap saya dihalau petugas hospital). Di sini saya terdedah dengan suasana hospital dan kehidupan doktor-doktor dan para medik sambil menyimpan hasrat untuk menempati diri dalam keadaan hospital sebagai seorang doktor yang saya kagumkan. (Peristiwa Tanya Cita-cita 1963). Sebelum pulang dengan raga yang telah ringan, saya akan singgah ke Wad Psikiatri di mana pesakit-pesakit psikotik dikurung dalam wad berbentuk penjara. Melalui tingkat kecil separa bulatan, saya akan mengintip kerenah dan tingah laku pesakit-pesakit jiwa yang kerapkali cukup menghiburkan. Pengalaman-pengalaman dan pendedahan sebegini mempertajam pengamatan saya mengenai kemanusian dan permasalahannya di kemudian hari.

Tinggal di kalangan komuniti majoritinya buruh kasar, saya tidaklah sangat menyendiri (menurut pandangan saya, pandangan orang lain agak berbeza) masih bermain dengan kanak-kanak berperangai kasar, bercakap kasar selain menggunakan perkataan jorok, lucah yang tidak terbayang minda manusia yang beradab. Kata-kata carutan diucapkan kanak-kanak pada usia kecil seawal 4-6 tahun dengan nada selamba. Apatah lagi mereka berumur 7-18 tahun, carutan mereka lebih ‘advance’ . Jauh lebih dahsyat mutunya jika dibandingkan dengan makian yang diguna di internet atau di mana-mana sekali pun yang pernah saya dengar.

Hampir setiap hari, komuniti itu akan diwarnai dengan pergaduhan, pertelingkahan, budaya serang-menyerang, dihujani dengan carutan makian antara, ibu dengan ibu, ibu dengan anak , anak dengan anak, biasanya di antara bangsa-bangsa yang sama. Jarang terjadi pertengkaran antara Melayu dengan India atau pun Cina. Pertengkaran dan pergaduhan antara orang Melayu yang paling mendominasi. Isu-isu remeh temeh, seperti ayam-itik jiran suka berak di kawasan rumah jiran, belum lagi menuduh anak jiran mencuri ayam-itik, menuduh anaknya mengendap anak dara orang, anak remaja mengusik anak dara jiran dan pelbagai ragam masalah domestik.
Pengkayaan minda melalui pendedahan kemelut antar-manusia dalam realiti masyarakat semi-urban membolehkan saya membuat penilaian melalui pengamatan, lalu menerapkan apa yang saya alami di masa lampau dalam menulis karya kreatif dengan penokokkan kesan dramatik dari pengalaman asal. Semua novel-novel saya tidak tercetus tanpa rujukan peristiwa masa silam. Pengalaman silam diadunkan dengan penciptaan semasa, sama ada sebagai latar atau penambahan nilai watak-watak separa real adalah ragam yang mewarnai pemerian novel-novel Di.Ar.Ti., Manuklon, Sentuhan Oedipus, Terang Bulan, Hikayat Neogenesis, Fitrah Kimiawi dan Panggil Aku Melaju.
Orang kerap bertanya bagaimana seorang doktor atau pengamal perubatan boleh menulis novel. Pada mereka, sesuatu agak pelik dan ganjil. Saya selalu cuba menyakin penanya; yang sebenarnya adalah, saya seorang penulis yang menjadi doktor. Seorang penulis akan menulis menurut nalurinya samalah seperti seorang pelukis akan melukis atau pemuzik akan tidak senang duduk kalau dia tidak memainkan instrumennya. Begitu jugalah dengan seorang penulis. Dia perlu menulis kerana menulis itu adalah suatu dorongan dari dalam yang hakiki. Bukan paksaan, ianya dia, seorang penulis kreatif.
Memang, saya mula menulis sejak di sekolah menengah lagi tetapi pada mulanya karangan bukan-fiksyen. Sempat memenangi pertandingan mengarang peringkat sekolah dan pernah memenangi Hadiah Sagu-Hati Pertandingan Peringkat Kebangsaan “Malaysian Nature Society” pada tahun 1968. Pada tahun yang sama saya mulai berjinak-jinak dengan genere puisi ketika polemik sajak “Sidang Roh” karya Kasim Ahmad hangat diperkatakan di kalangan peminat puisi di Pulau Pinang dan Seberang Perai.

Kegiatan menulis karya kreatif saya terhenti ketika belajar di pra-U dan Universiti tetapi itu tidak menghalang saya mengikuti kegiatan susastera Indonesia secara tidak langsung yang merupakan aktiviti penghayatan seni sastera mahasiswa perubatan di kampus universiti tempat saya belajar.
Apabila saya telah memperolehi Sarjana Kedokteraan dan dilantik menjadi DM atau Doktor Muda atau Intern di RS Dr Soetomo Surabaya, saya menimba banyak pengalaman sosial yang saya rakam di benak dan rakaman-rakaman itu kembali muncul semula sebahagian dalam olahan dramatik melalui “Terang Bulan.” Meskipun tersangat sibuk, disebalik kekangan masa sebagai seorang doktor muda, saya menyempatkan diri menulis sebuah artikel berjudul “ISA penyelamat rakyat Malaysia” dan disiarkan di Harian Kompas sekitar tahun 1977 sebagai jawapan terhadap gerakan anti-Malaysia yang rancak ketika itu sabit hukuman korporal yang dijatuhkan kepada seorang remaja Malaysia atas kesalahan pemilikan senjata api. Penyiaran artikel itu ikut mengejutkan rakan-rakan mahasiswa Indonesia yang tidak menyangka tulisan saya bisa dimuat di harian peringkat nasional mereka. Selain pujian, saya juga menerima ancaman berupa kartupos yang mengutuk tulisan saya sebagai rasis.

Sekembali dari Indonesia, saya terus menulis. Namun tidak satu pun artikel yang saya tulis dan kirim, diterbitkan oleh majalah-majalah nasional termasuk Dewan Masyarakat. Isu kesihatan bukan jadi keutamaan pada sekitar tahun 1980-1981. Meskipun demikian, kegagalan itu tidak melemahkan semangat saya untuk menulis.

Akhirnya, dalam satu kunjungan ke USA pada tahun 1989, telah mendesak saya menulis, bukan non-fiksyen tetapi sebuah sains fiksyen. Lahirlah Di.Ar.Ti. dari rahim minda kreatif saya. Pada masa yang sama, DBP sedang merekruit penulis-penulis dari kalangan profesional termasuklah doktor. Saya diundang untuk menghadiri bengkel-bengkel penulisan anjuran DBP. Melalui galakan ini, saya terus menulis. Atas pengalaman pendek dalam tentera dan kegusaran situasi perpecahan di kalangan orang Melayu (sampai sekarang) di samping pemikiran pemimpin negara tetangga tentang kuasa undi individu dipengaruhi emosi, maka timbullah idea untuk menghasilkan sebuah novel ‘apokaliptik’ Malaysia 2097 bergenre sains fiksyen futuristik yang berjudul Manuklon.
Terang Bulan novel ketiga saya merupakan suatu recap kehidupan seorang remaja Malaysia yang menuntut di bidang perubatan di Indonesia. Krisis dan kontroversi Indonesia-Malaysia yang menjadi-jadi pada masa kini, sebenarnya telah berakar umbi sejak zaman konfrontasi Sukarno lagi. Bila ORLA berakhir, hubungan diplomatik yang baik antara kedua-dua negara di bawah pemerintahan ORBA Suharto telah merealisasi program pertukaran guru/pensyarah-pelajar. Menerusi program ini, saya telah ditawarkan beasiswa JPA untuk melanjutkan pelajaran dalam bidang perubatan di salah satu universiti terkemuka di Indonesia. Kehadiran penulis di tengah-tengah masyarakat Indonesia kelas menangah sentiasa diwarnai dengan pelbagai pancaroba dan kejutan budaya di luar dugaan. Ironi bukan. Ini barangkali disebabkan andaian yang didasarkan persepsi kebanyakan orang Melayu tentang kerumpunan Melayu Serantau. Sedikit sekali, kita sedari bahawa benteng-benteng pemisah antara (apa yang mau saya katakan sebagai) “SATU BANGSA DUA NEGARA” dengan kekentalan nasionalisme masing-masing yang berbeza. Melalui “Terang Bulan” saya merakam sentimen-sentimen anti-Malaysia bermula dengan lagu kebangsaan Malaysia yang dipertikaikan. Pengaruh Anti-Malaysia Sukarno demikian kuat terpahat dalam minda tidak hanya di kalangan orang Indonesia kelahiran tahun 40,50, 60an malah sentiasa dihidupkan sentimen-sentimen kenegaraan dan sikap memandang kecil dan rendah mereka terhadap kita dalam aspek budaya dan kenegaraan. Anehnya, meskipun dalam suasana tidak serasi menyangkut budaya dan kenegaraan (akibat nasionalisme extrim kedua-dua belah pihak) namun soal hubungan harian tidak terjejas. Lebih aneh lagi, mereka yang tanpa segan silu menyatakan tidak ‘senang’ dengan kehadiran mahasiswa merebut tempat yang sepatutnya dipenuhi oleh anak-anak Indonesia, tetapi amat senang sekali kalau dapat bermenantukan teruna dari Malaysia. Hampir 80% hingga 100%, mahasiswa Malaysia di masa saya belajar berkahwin dengan gadis-gadis Indonesia. Malah ada beberapa kes, Malaysia hantar seorang mahasiswa perubatan, dapat dua doktor. Mana mereka tak marah?



Proses Penkaryaaan Novel Di.Ar.TI.

Novel sci-fi saya yang pertama, diterbitkan pada tahun 1990 oleh DBP. Idea menulis Di.Ar.Ti. timbul setelah saya berpeluang mengunjungi sebuah klinik tersohor di dunia iaitu Mayo Clinic. Klinik ini mempunyai bangunan 21 tingkat menempatkan lebih 1500 spesialist (3,649 pada 2008) dengan tenaga sokongan para-medik dan non-medik sejumlah 60,000 orang pada masa kini. Tiap aras mempunyai empat sayap. Kesemua sayap dipenuhi pesakit. Pesakit-pesakit rujukan dari segala pelosok dunia datang ke Mekah Perubatan untuk medapatkan pendapat dan pandangan ketiga setelah mendapat rawatan awal di bandaraya atau negara asal pesakit.

Di sini saya terpegun melihat berpuluh-puluh ribu pesakit datang ke situ dengan tujuan untuk mengelak dan menunda kematian. Jadi timbul ilham, jika kematian telah terjadi mampukah sains perubatan mengembalikan nayawa kepada suatu kematian. Maka lahir singkatan DRT yang bermaksud Death Revival Technique yang disembunyikan dalam code computer.


Bila draf awal saya ajukan ke DBP untuk penerbitan pada tahun 1989, DBP sedang melancarkan program untuk menggalakkan kalangan profesional seperti doktor, saintis, jurutera, peguam, arkitek, ekonomis, shahbandar dan lain-lain professional untuk terlibat secara aktif dalam penulisan kreatif.

Hasrat saya melibatkan diri dalam pengkaryaan kreatif pada peringkat awalnya hanya berhasrat untuk memberi contoh sebuah sains fiksyen seharusnya berbentuk serius dan mengandalkan ilmu-ilmu sains terkini dan menerusi ilmu-ilmu tersebut pemerian kisah-kisah dikembangkan sehingga meninggalkan realiti semasa lalu membentuk gagasan ramalan dan segala ramifikasi di masa akan datang.

Novel kedua dan ketiga ditulis dalam masa serentak. Novel Manuklon dan Terang Bulan ditulis pada tahu 1990 dan kedua-duanya berjaya diterbitkan oleh DBP pada tahun 1991.
Manuklon adalah sebuah novel sains fiksyen yang membicarakan kesan-kesan aplikasi kejuruteraan genetik. Manuklon adalah gabungan dua perkataan, manusia dan klon. Novel futuristik ini memaparkan konflik antara manusia puris dan manuklon pada akhir abad ke 21 dengan latar landskap apokaliptik Malaysia.

Sentuhan Oedipus merupakan sekuel dari Di.Ar. Ti dan diterbitkan oleh K Publishers Sdn Bhd, satu-satu novel saya diterbitkan di luar penerbitan DBP.
Saya tidak berhasrat membicang secara terperinci novel-novel awal saya tetapi lebih ingin menumpu perbincangan hari ini kepada tiga novel terakhir saya iaitu Hikayat Neogenesis, Fitrah Kimiwi dan Panggil Aku Melaju.

Setelah beberapa tahun menyepi iaitu selepas empat novel yang pertama, saya masih mengikut kegiatan sastera secara pasif, tidak menghasilkan sebarang novel kerana novel kelima saya berjudul Gemeli telah saya buang ke tong sampah Majlis Perbandaran Langkawi meskipun sudah sampai ke bab ke X. Panggil saja mogok seni, saya juga dirasuk emosi seperti sesiapa jua yang berkecimpung dalam bidang seni, sesekali dirundung kemurungan susastera. Tetapi apakah tragedi yang mengakhiri mogok seni saya itu? Apakah yang membuat saya bangkit semula dari mogok seni itu di suatu celah masa hampir satu dekad? Jawapannya:

Pada tahun 2002, tragedi menimpa Bahasa Melayu. Kewibawaan Bahasa Melayu tercabar dan tercalar dengan ura-ura pelaksanaan PPSMI. Mogok Seni saya yang tak pernah diisytihar kembali menyuburkan jiwa penulisan kreatif saya. Upaya segera saya adalah menghantar sebuah puisi protes berjudul “Selamat Tinggal Bahasa Melayu Ilmiah” ke majalah Dewan Sastera. Sayangnya sajak tersebut dibakul sampah oleh editor.
Menyedari kawalan pihak berwajib atas ekspresi susastera melalui birokrasinya, saya tidak mahu melancarkan bantahan frontal kepada hasrat kerajaan melaksanakan PPSMI. Lalu saya memilih pendekatan satira dengan menulis sebuah novel berjudul Hikayat Neogenesis . Hikayat merupa kitab yang mengisahkan kisah-kisah lama dan purba, sedangkan Neogenesis mewakili istilah-istilah sains yang telah diMelayukan. Gabungan kedua-dua perkataan itu merupakan sindiran/parodi terhadap PPSMI.
Sebagai contoh, saya petik keratan dialog dalam novel Hikayat Neogenesis:

Kepada satu pertanyaan oleh peguam Lim kepada Dr Wan, pengarang tanpa berselindung lagi menunggangi watak-watak ciptaan untuk mengemukakan bantahan terhadap PPSMI dengan terang dan jelas sekali
“Mengapa tindakan kerajaan itu begitu berkesan kepada Dr Wan ?”
“Sebab saya terdidik sepenuhnya mulai pendidikan rendah tanah air hingga di pendidikan tertier dalam bahasa Melayu. Meskipun demikian saya masih berasa tindakan kerajaan itu agak pragmatis memandangkan cabaran gelombang globalisasi telah menimbulkan panik di kalangan pendidik di tanah air yang merasakan bahasa Inggeris lebih layak digunakan mengajar matematik dan sains biarpun di tahun satu, peringkat yang terendah dalam sistem pendidikan negara. Bahasa Melayu kini tidak lagi layak sebagai medium pengajaran mata pelajaran sains dan matematik. Itulah yang menyedihkan saya, tapi saya yakin kerajaan serius dengan perlaksanaannya dan dijangka tidak menoleh ke belakang lagi, dalam erti kata lain melupakan Falsafah Pendidikan Kebangsaan yang digubal oleh nasionalis-nasionalis terdahulu yang rata-rata adalah bekas guru yang kemudian membina kerjaya mereka sebagai ahli politik. Kini ramai ahli korporat dan kontraktor menjadi ahli politik, mereka ini mengambil pendekatan pragmatik lalu memihak kepada globalisasi dan patriotisme dengan membelakangi nasionalisme sehingga sanggup mencabut jiwa bahasa Melayu itu daripada bangsanya. Saya dibesarkan dengan semangat “Bahasa Jiwa Bangsa” (nya) Syed Nasir dan cara terbaik untuk merakam atribut sastera saya dengan menulis novel Hikayat Neogenesis. Tiga puluh tahun lamanya, DBP dengan kerjasama pakar sains dan matematik tanah air bertungkus lumus mencipta istilah sains dan matematik, tetapi menjadi sia-sia dan sejarah telah berjaya membuktikan bahasa itu telah digunakan secara meluas di semua peringakat pendidikan dalam rangka menjadikan bahasa Melayu satu bahasa besar yang disegani. Dengan perlaksanaan dasar baru ini, puluhan ribu istilah bahasa Melayu saintifik akan menjadi bahasa arkib. Istilah-istilah itu tidak lagi berguna, berpuluh juta ringgit dihabiskan untuk mengembangkannya, tidak terhitung tenaga fikiran yang dicurahkan oleh pencinta-pencinta bahasa yang mahu memertabatkan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu. Untuk menjadi bangsa Melayu maju, pencinta-pencinta bahasa diminta memilih antara bangsa atau bahasa. Jika mereka lebih sayangkan bangsa, mereka diharuskan memilih bahasa Inggeris. Agar istilah-istilah itu tidak dilupakan, maka saya merakam semula istilah-istilah itu dalam novel satira untuk memberi penghormatan terakhir kepada kemangkatan bahasa Melayu ilmiah dengan menghikayatkan perbendaharaan kata yang bakal menjadi antik itu. Maka tercetuslah novel berupa Hikayat Neogenesis,” jelas Dr Wan dengan panjang lebar.[1]

Demikian juga dengan novel Fitrah Kimiawi. Pembelaan terhadap Bahasa Melayu tersirat melalui peristiwa-peristiwa akibat pelaksanaan PPSMI hingga terjadi peminggiran Bahasa Melayu di MRSM yang menjadi latar novel tersebut.

Fitrah Kimiawi merupakan novel projek DBP atas galakan Sdr Abdul Ahmad yang inginkan saya menghasilkan sebuah novel remaja. Lalu saya dibengkelkan beliau di bawah mentor Allahyarham Prof Dharma yang mana beliau sendiri mencadangkan judul kepada novel tersebut. Novel Fitrah Kimiawi merupakan kembangan-karya cerpen “Kimiawi Cinta” yang dibentangkan sebagai kertas kerja di bengkel penulisan kreatif anjuran DBP Cawangan Utara.

Peristiwa pembuangan novel “Hujan Pagi” karya SN A Samad Said dipilih secara simbolik untuk melambangkan kegiatan penolakan sastera Melayu oleh kalangan guru yang taksub terhadap pelaksanaan PPSMI. Novel Hujan Pagi itu dipinjamkan oleh oleh guru BM kepada pelajar terbabit. Setelah ditangkap membaca novel tersebut semasa kelas, guru biologi telah melempar buku itu melalui tingkap. Pengarang memilih suasana hujan gerimis sebagai latar landskap. Secara dramatik, pengarang menggambarkan kepiluan pelajar ketika memungut novel “Hujan Pagi” yang basah dan rusak akibat pembuangan novel itu oleh guru biologi. Peristiwa pembuangan (fiktif) mewakili perlambangan usaha peminggiran sastera Melayu dalam pembentukan minda penghayatan sastera generasi remaja yang mahu diganti dengan apresiasi sastera Inggeris.

Usaha peminggiran sastera Melayu dapat dirasai terutama guru-guru BM dan sebilangan kecil guru-guru sains lainnya. Sastera Melayu mendapat pembelaan apabila guru BM dan guru fizik berpadu tenaga menganjurkan Malam Puisi dengan menjemput Prof. Wan Ahmad Tajuddin (bukan watak fiktif) seorang pakar nuklear fizik yang juga seorang pemuisi. Dalam FK, pra-kata anatologi puisi beliau, Lawatan Lain dipaparkan sebagai bukti pentingnya menghasilkan insan sains yang berjiwa seni dalam menghasilkan pelajar-pelajar sains yang mampu menggunakan kedua-dua otak kanan dan kiri secara holistik. Mengembalikan seni sastera kepada pemikiran sains dalam penyatuan semula ilmu merupakan usaha mengwujudkan ‘whole-brain thinkers’. Kalau sastera Melayu ingin mendapat tempat di hati generasi akan datang, maka program menggunakan kedua hemisfera otak secara serentak perlu diaktifkan dan diperkenalkan. Kalau tidak, kita hanya akan menghasilkan ilmuan sainstis yang tidak celik-sastera. Di zaman kegemilangan intelektual lampau tiada dikotomi sains-sastera. Contohilah Ibna Sina, Al-Hayan, Al-Khwarizim dan lain-lain. Mereka sainstis dalam zaman mereka, disamping penyair. Pada pandangan saya, Prof Dr Wan Ahmad Tajuddin adalah di antara contoh terbaik insan whole brain thinkers.

Pengarang dengan sengaja mengungkap petikan lengkap pra-kata Lawatan Lain yang ditulis oleh tokoh yang diidolakan sebagai hasilan sistem pendidikan nasional yang mengorbankan sastera Melayu meskipun di era pra- PPSMI.

Panggil Aku Melaju (DBP 2008)

Latar Belakang PAM.
Berbeza dengan HNG dan FK, PAM bukan sebuah novel projek DBP. Malah pada peringkat saringan, PAM ditolak untuk penerbitan dan dikembalikan kepada penulis kerana sebab-sebab yang tidak diberitahu secara resmi.
Tidak putus asa meskipun sedikit kecewa dengan pemulangan manuskip PAM, saya secara kebetulan atau entah diatur, dihubungi agen literari swasta yang dilantik DBP. Kali kedua PAM dihantar melalui agen, juga mengambil masa yang lama bagi birokrasi sastera di DBP untuk membuat keputusan. Akhirnya, DBP setuju untuk menerbitkannya dengan syarat, dua adegan bunuh-diri ditiadakan. Saya kecewa lagi kerana algojo susastra mengunakan kuasa eksekutif mereka untuk memotong klimak novel saya. Oleh kerana ada syarat yang dikenakan dan kerana sangat mahu PAM itu diterbitkan, saya beralah mempersetujuinya. Dipersetujui, adegan bunuh diri antagonis di Menara Berkembar Petronas dan protagonis pula tidak digambarkan sebagai membunuh diri tetapi menghilang diri secara misteri. Saya membenarkan bahagian akhir novel PAM ditulis semula. Dan saya serahkan kebijaksanaan itu pada agen literari yang dilantik. Kesemua teks kecuali dua adegan bunuh diri dilenyapkan oleh kuasa eksekutif algojo susastra Malaysia dalam usaha membentuk penulisan kreatif lebih bertanggung-jawab. Tetapi kebebasan kreatif susastra Melayu sedikit tercalar dengan kawalan ekspresi oleh pihak berwajib yang mengatur tahab kebebasan penulisan meskipun dalam hanya sebuah cerita rekaan!


Sinopsis PAM.
PAM berkisar tentang halusinasi seorang pesakit mental lelaki yang diketemui dalam keadaan telanjang bogel, tanpa dokumen pengenalan diri yang kemudiannya dimasukkan ke Institut Mental Negara (IMN). Pesakit itu yang enggan memberitahu namanya (diberikan nama Mr. X dalam pendaftaran) ternyata sangat sensitif bila bertanya mengenai bangsanya. Beliau tidak mahu dipanggil Melayu tetapi Melaju.

Lelaki itu kemudiannya tidak menuturkan sebarang percakapan (mutisme) setelah dimasukkan ke dalam wad. Namun disebalik mutisme itu atau mogok-tutur, minda kacau Mr X memaparkan sebuah odesi pencarian akar-akar linguistik BM dalam karangan halusinasi bercerita yang teratur dan indah namun diirringi gerak-tari teaterikal dalam persembahan pantomim yang berlarutan panjang. Pantomimisme itu membingungkan pakar-pakar psikiatri di IMN yang mengkaji kecelaruan minda Mr X.

Disebalik odesi minda Mr X itu, Komplek Hospital Kuala Lumpur yang menempatkan IMN digemparkan dengan pembunuhan ngeri dan bersiri. Oleh kerana ada kalanya Mr X mempamerkan gerakan-gerakan ganas dalam pantomimismenya beliau disenaraikan sebagai salah seorang suspek.
Dengan rawatan, lambat laun Mr X tampak pulih dan mampu berkomunikasi dengan para doktor dan pesakit-pesakt mental lainnya. Usaha untuk mengenai pasti indentiti Mr X akhirnya berjaya; ternyata beliau adalah seorang arkeologis, filologis dan etnolinguis di ATMA UKM yang bernama Dr Ridzuan. Bila identitinya dikenalpasti, Dr Ridzuan yang hampir pulih dari halusinasinya dan kembali mengenali dirinya yang sebenarnya, telah ditempatkan wad VIP berasingan dari pesakit-pesakit mental lainnya. Dr Ridzuan atau Mr X itu terserempak dengan bilik rahasia pemujaan mangsa pembunuhan bersiri. Sayangnya, perlaporan beliau itu dianggap halusinasi paronoidnya kumat lagi.
Kecelaruan minda Dr Ridzuan sebenarnya disebabkan rasa tertekan dan kekecewaan yang mendalam akibat pelaksanaan PPSMI. Novel ini merupakan bantahan susastra terhadap PPSMI secara total lagi sinis. Disebalik kecelaruan mindanya dia mampu membantu polis mengenalpasti pelaku pembunuhan bersiri di Hospital KL. Datuk Dr Kamarudin tidak sempat dihukum oleh keadilan undang-undang namun beliau dimatikan penerbit (tidak pengarang) oleh penyakit barah otak yang dihidapinya sedangkan versi asal dia membunuh diri dalam adegan dramatik penuh debaran dengan terjun dari tingkat 68 Menara Berkembar Petronas. Dalam versi asal pengarang merakam dua kejadian bunuh diri kedua-dua antagonis dan protagonis di dua tempat yang berbeza yang menjadi mangsa suntingan di meja editor DBP. Kedua-kedua peristiwa bunuh diri itu, satu di Menara Berkembar Petronas dan satu lagi di bumbung IMN mempunyai makna tersendiri. Ketika membunuh diri dengan terjun dari atas bumbung IMN, Dr Ridzuan menjerit sekuat tenaga kata sumpahan yang kerap dipekikkan oleh Mr X semasa beliau masih hilang akal.
Sebenarnya kata sumpahan itu menjadi fokus utama sebagai bahan kajian semi-ilmiah beliau ketika merantau di lokasi-lokasi arkeologi yang dikunjunginya. Beliau berjaya menjejaki asal usul perkataan-perkatan yang berkaitan dengan anatomi tubuh manusia yang digunakan oleh etnik Malayonesia di seluruh kepulauan Nusantara. Perkataan-perkataan tersebut tidak banyak mengalami perubahan meskipun diuji masa, migrasi cuaca dan perubahan budaya-bahasa. Perkataan-perkataan itu kekal subur dalam masyarakat Nusantara yang diakari susur-galur geneologi dan sosio-budaya yang sama. Sumpahan itulah barangkali yang mau disampaikan oleh Dr Ridzuan watak fiktif pencinta bahasa Melayu kepada pelaksanaan PPSMI. Sepanjang kegilaannya itu Mr X secara geram dan berulang meledakkan makian itu yang menjadi klu atau tanda kepada kecelaruan minda yang dideritai Dr Ridzuan. Novel ini mengabadikan rakaman susastra dalam membantah pelaksanaan PPSMI dari awal hingga akhir.

Bukti-bukti Bantahan Susastra terhadap PPSMI.
Bukti-bukti bantahan susastra terhadap PPSMI begitu banyak dan dengan jelas diketengahkan berbanding HNG dan FK. Malahan tidak berlebihan kalau saya mengatakan PAM ditulis khusus untuk memprotes PPSMI.

Pembelakangan BM oleh syarikat-syarikat swasta milik kerajaan.
Syarikat-syarikat penswastaan kerajaan pun malu nak pakai nama Melayu. Dulu pakai Kedai Telekom, sekarang TM Point. “Kedai” itu kampungan. Pada era globalisasi , apa saja yang berbau Melayu akan dihilangkan. [2]
Pembelaan terhadap dakwaan kalangan pro-PPSMI yang BMI mengandungi banyak istilah-istilah pinjaman.
Pengkhayal melihat peminjaman istilah merupakan amalan yang pragmatik. Bukanlah merendahkan mertabat bahasa itu. Peminjaman tidak akan merendahkan mertabat sesuatu bahasa. Semua bahasa meminjam kata-kata orang lain dan dijadikan bahasa mereka. Kalau kata-kata pinjaman itu digunakan bertahun-tahun dan berkurun-kurun, lama-lama ia menjadi milik bahasa itu. Tidak siapa perlu mempertikaikannya. Sekaligus kata-kata pinjaman memperkaya perbendaharaan bahasa ibunda.[3]
Catatan emosi pencinta bahasa terhadap pelaksanaan PPSMI
Perasaan rawan Pengkhayal tidak dapat disembunyikan lagi ketika mengenang nasib bahasa Pengkhayal yang ditinggalkan dalam keghairahan diaspora baru untuk mengejar ilmu-ilmu tinggi. Pengkhayal meratapi kemangkatan bahasa ilmiahnya saking kegelojohan terhadap kemajuan duniawi sehingga membelakangi bahasa warisan yang kepingin juga maju seperti bangsanya. Kerawanan Pengkhayal menjadi nyata apabila mengingati bagaiman ilmuwan bangsanya sanggup mencicirkan bahasa ibunda dan menganggap bahasanya tidak layak berada di sisinya ketika bangsanya mencapai status negara maju di persada anatarbangsa. Ratusan ribu tahun yang lalu, bahasa ibunda sentiasa setia mengiringi penghijrahan manusia purba dan tidak pernah meninggalkan bangsanya. Ia terus maju bersama-sama pergerakan bangsanya. Sebab itu, Pengkhayal lebih selesa dengan dunia lampaunya.......................... Maka, dunia lampau ialah dunia sanubari yang meletakkan bahasa ibunda berada kekal di mercu penghormatan.[4]

Wacana kekesalan membantah PPSMI secara sinis.
Pembelakangan dan penciciran terancang cabang ilmiah bahasa ibunda menyebabakan dia merantau dalam kembara minda untuk mencari susur-galur asal usul bahasa ibunda yang dia banggakan. Dia sejak kecil membesar dan bernyawa dengan bahasa ibundanya. Tidak hairanlah dia terlalu hiba atas kemangkatan itu. Maka, kembara bahasa ialah suatu perlarian yang amat bermakna. Makin hari makin banyak istilah yang Pengkhayal temui mempunyai akar umbi berkurun-kurun lamanya. Ah, betapa pengkaji bahasa mengecil-ngecilkan ketulenan bahasa ibundanya itu. Mereka mengatakan jumlah perkataan yang berasal daripada bahasa ibunda tidak melebihi jumlah jari sebelah tangan. Ia (nya) suatu mitos yang ditanam dalam minda anak-anak bangsa sehingga apabila anak-anak bangsa menjadi pembuat keputusan, mereka berpihak kepada bahasa import dan akhirnya membunuh cabang ilmiah bahasa ibunda sendiri.[5]
Pemertabatan Bahasa Melayu sebagai hasilan evolusi bahasa (sedangkan PPSMI sebagai tindakan penghinaan dan pengaiban BM)
Pelayaran bersejarah itu sangat bermakna bagi Pengkhayal, bagaimana orang Ma Lanyu itu berubah dari pelaut yang membina kapal layar; menjadi pembina menara berkembar tertinggi di dunia. Daripada pembina kapal ke pembina manumen, orang-orang Ma Lanyu melalui pelbagai proses tranformasi, daripada suatu etnik kecil kepada suatu bangsa bermartabat, bermaruah dan berdaulat. Dari anismisme kepada hindunisasi, sankritinisasi, arabisasi atau islamisasi dan penjawian, feringinisasi, holandianisasi, hispanisasi, perumian dan akhir anglonisasi. Lahirlah satu bangsa dan bahasa yang matang setelah melalui ribuan tahun pembentukannya. Pletora genetik bangsa yang pelbagai itu menyumbang kekayaan korpus bahasa Pengkhayal yang mulai diragui oleh kalangan yang taasub terhadap kuasa dan pengaruh bahasa dunia pada bumi kini yang adipolar. Bagaimana kata-kata disaring dan dipilih untuk menjadi sebahagian daripada korpus bahasa yang memungkinkan bahasa Pengkhayal menjadi matang, unggul dan berima yang sesuai untuk berpantun, bersyair gurindam seloka dalam tambo, talibun, babad dan hikayat.[6]

PPSMI membelakangi kontrak sosial.
Betapa Pengkhayal menyedari bahawa pegkaji-pengkaji awal bangsa Pengkhayal merendah-rendahkan keaslian bahasa Pengkhayal. Namun dalam tinjauan filologi Pengkhayal, dakwaan demikian tidak benar. Nyata, indoktrinasi mereka telah meresap dalam ramai pemuka-pemuka bangsa Pengkhayal. Mereka ini selalu memandang rendah terhadap bahasa mereka sendiri. Bahasa Pengkhayal kononnya tidak kompeten untuk menjadi bahasa pengantar pendidikan ilmiah yang tinggi. Kewujudan dan penggunaan bahasa Pengkhayal untuk mengajar ilmu-ilmu tinggi pada anak bangsanya dianggap tidak lagi relevan dalam zaman globalisasi di dunia adipolar. Pengkhayal selalu menghujahkan yang tidak kompeten itu ialah bangsa itu sendiri, bukan bahasa mereka. Mereka berjaya mengembangkan bahasa itu menjadi bahasa modern hanya di atas kertas. Namun, dari segi amalanya mereka gagal dalam perlaksanaan meskipun semua ramuan dan rumusan untuk memertabatkan bahasa mereka itu sudah tersedia. Sayang sekali, keazaman untuk mengangkat bahasa itu sudah luntur. Pengkhayal hairan mengapa pemuka-pemuka bangsa Pengkhayal apabila bercakap mengenai pencapaian ekonomi peribumi, mereka mengungkit-ungkit kontrak sosial yang dimeterai oleh pejuang-pejuang kemerdekaaan. Tidak pula mereka mahu mempertahankan kontrak sosial mengenai status bahasa ibunda yang diperjuangkan dalam sumpah dan janji pemuda pemudi prakemerdekaan. Sumpah dan janji pemuda pemudi pejuang bahasa tidak dikotakan. Hanya ekonomi peribumi dalam ringgit dan sen yang diperjuangkan oleh mereka.[7]

PPSMI menghasilkan budak globalisasi
Dari ribuan bahasa Malayonesia, bahasa Pengkhayal berkembang unggul sebagai mutiara dalam pelbagai bahasa etnik. Mutiara itu meskipun dalam lipatan tangan sendiri; tidak terserlah sirnanya di mata mereka yang memakai kaca mata kelam dan gelita. Demikian kiasan Pengkhayal terhadap anglofilik yang menjadi penyokong handalan globalisasi. Bangsa Pengkhayal dihindukan melalui bahasa bahasa Tamil Pallivian, dibuddhakan melalui bahasa Sanskrit, diislamkan melalai bahasa Arab, serta dijajah dan dijadikan budak globalisasi melalui bahasa Inggeris. Bangsa Pengkhayal tidak mencipta agama apa pun. Dari awal, bangsa Pengkhayal ditakdirkan menjadi pengguna tamadun yang dicipta dari luar dunianya. Kerana bangsanya senantiasa membuang apa yang dimilikinya dan menyarung sesuatu dari luar.[8]

PPSMI sebagai agenda oligopoli
Sayangnya, Pengkhayal hairan bagaimana pemuka bangsa Pengkhayal terpedaya dengan propaganda globalisasi seolah-olah perkataan keramat itu merupakan demi-god yang perlu dituruti sepenuhnya. Kononnya, mereka tidak mahu menjadi seperti orang-oraang asli Peru, meskipun berada di altitud tinggi, mampu melihat armada karavan laut Eropah menghampiri pantai mereka, mereka berpeluk tubuh tanpa mengambil tindakan apa-apa............Maka untuk tidak mengulangi kesilapan itu seyogialah anak-anak bangsa Pengkhayal meninggalkan bahasa ibunda untuk ikut sama menjayakan matlamat-matlamat globalisasi dalam penguasaan ekonomi dan hagemoni. Kita tidak mungkin berjaya mematahkan hasrat propaganda globalisasi, maka lebih baik anak-anak bangsa Pengkhayal dididik ikut menjayakan matlamat-matlamat tersirat menjadi komprador, dalam keramat globalisasi itu. Menentang dan melawan gelombang-gelombang globalisasi itu akan menenggelamkan kita. Adalah lebih selamat jika kita menyertai agenda-agenda globalisasi sebagai pemain global. Pada hal, Pengkhayal melihat bahawa kita bakal menjadi budak-budak globalisasi atau hamba pada pencanang-pencanang globalisasi............... Hanya dengan penguasaan bahasa Inggeris, kita kononnya mampu menjadi pemain global, walhal dengan segala keistimewaan dan subsidi, kendati kita kecundang di arena lokal. Rakan kongsi globalisasi akan menguntungkan golongan oligopoli yang menjadi rakan pintar mereka.[9]
PPSMI memenuhi kehendak doktrin globalisasi.
Bagi Pengkhayal, dia melihat betapa sesuatu kemajuan itu boleh dicapai melalui penciptaan. Penciptaan sesuatu kaedah mampu menangani sebarangan tantangan dan cabaran. Ia bukan sekadar menimba ilmu melalui persuratan dan pembacaan. Ilmu itu harus diciptakan. Bahasa dan tulisan hanya alat perakaman penciptaan. Untuk menjadi bangsa maju, bangsa Pengkhayal harus menjadi pencipta dam peneroka ilmu. Bukan sekadar pembaca ilmu, lalu hanya tahu menurunkan tandatangan dalam perjanjian yang meminta orang lain melaksanakan kemajuan buat mereka. Bangsa itu tidak akan menjadi bangsa besar dengan hanya tahu membaca jika mereka tidak menjadi bangsa pembuat dan pencipta reka. Mahir membaca cukup hanya menjadikan mereka bangsa pengguna kerana apa yang dibaca ialah acuan penulis ilmu. Itulah yang dikehendaki oleh doktrin globalisasi.[10]


10. PPSMI sebagai manifestasi sifat akomodatif Melayu.
Bangsa dan bahasa Melayu selalu mengorbankan khazanah yang dimilikinya dengan bahasa baru , apa sahaja, yang menjanjikan kemajuan kerana sifat akomodatifnya. Malah, bangsa itu membuat keputusan pahit dengan membunuh bahasa Melayu ilmiah demi mengejar kemajuan. Dalam sejarah perkembangan bahasa Melayu, terjadi banyak penyingkiran dan pembunuhan bahasa. Pengguna berhenti berucap bahas ibundanya apabila terpikat pada bahasa luar. Istilah-istilah purba ditinggalkan atau dimatikan oleh pengguna-penggunanya setelah menerima yang baru. ...........................Sesetengah bahasa atau istilah itu mati kerana keputusan mereka yang berkuasa. Matinya Jawi dan pengaruhnya ditentukan oleh pembuat dasar di institusi pendidikan. Sebelum kematian Jawi, skrip Pallavian dan Dravidian juga ikut terkorban di tangan penganut dan pemikir Islam di Alam Melayu. .......................Jawi dimatikan dalam pendidikan nasional selepas orang Melayu merdeka, hanya atas alasan intergrasi masyarakat majmuk Malaysia. Kini tiba masanya bahasa Melayu pula untuk dimatikan sedikit demi sedikit. Cabang bahasa Melayu ilmiah dimatikan kerana ia dianggap tidak lagi relevan dengan zaman globalisasi. Betapa konsistentnya pembuat dasar Melayu dulu dan sekarang. Mereka selalu mencari jalan mudah menyelesaikan masalah. Mengembangkan bahasa Melayu menjadi bahasa ilmiah jauh lebih sukar daripada memaksa anak-anak Melayu belajar sains dan matematik dalam bahasa Inggeris. Sama seperti anak-anak Melayu dipaksa belajar skrip Pallavian dan Dravidian demi kuasa kerajaan, agama dan perdagangan, kini anak-anak bangsa diperlakukan sama seperti tiga empat ribu tahun dahulu........... Diberi peluang mengembangkan bahasanya sebagai bahasa ilmu, tidak sampai lima puluh tahun, mereka telah hilang keyakinan dan mungkir janji pada kontark sosial prakemerdekaan yang mahu mendaulatkan bahasa itu. Tetapi, apabila menyangkut wang ranggit dalam penguasaan ekuiti, kontrak sosial dijadikan alasan dan landasan untuk mengganti DEB dengan ANB. Bangsa itu tidak diminta membina roket atau bom nuklear sendiri; hanya mengajar anak bangsanya ilmu sains dan matematik dalam bahasa ibunda, namun itu pun setengah jalan mereka berubah fikiran.[11]

11. Penyataan bantahan PPSMI melalui dialog.
“Jadi kalau anak bangsa kita boleh belajar sains dan matematik dalam bahasa Inggeris, akan terjadi brain drain ke negara Barat. Kita susah-susah mendidik mereka, akhirnya mereka meninggalkan Malaysia untuk bekerja di luar negara yang tentunya memberi ganjaran wang dolar dan pound yang jauh lebih besar.”[12]

“Kalau tidak mengajar sains dam matematik dalam bahasa Inggeris, kita seolah-olah menafikan realiti ilmu.”
“Tetapi kita juga menafikan bahasa Melayu menjadi bahasa ilmu. Bahasa itu telah membuktikan ia mampu menjadi bahasa pengantar untuk pengajian tinggi selama hampir empat puluh tahun. Ribuan profesional dan teknokrat dihasilkan melaluinya. Mengapa baru sekarang timbul fikiran aneh yang lain?”[13]

“Kalau sudah diajar dalam bahasa Inggeris dari tahun satu, mana mungkin akan ada khalayak pembaca penerbitan bahasa Melayu pada masa akan datang. Bahasa Melau ilmiah akan mati. Mati dibunuh! Ironisnya, oleh orang Melayu sendiri.”[14]

“Setelah mereka merdeka, mereka sendiri membunuh tulisan Jawi dan memertabatkan tulisan Rumi. Apabila tiba pula neokolonialisasi dalam gelombang globalisasi, bathera bahasa Melayu yang mereka layari di perairan pertiwi itu dikaramkan untuk memberi laluan bathera bahasa Inggeris.”[15]


Penutup
Dari Di.Ar.Ti hingga ke Panggil Aku Melaju, merupakan pelayaran seni anak pelabuhan merakam peristiwa-peristiwa masyarakat yang menyentuh nuraninya dalam bentuk pemerian cereka tanpa meninggalkan domain sains sebagai landasan dan lataran untuk meluncurkan gagasan dan idea-idea dalam bentuk penulisan kreatif.







[1] Haroun, Rahmat, 2005, Hikayat Neogenesis, Kuala Lumpur DBP, ms 222-224.
[2] Hashim, Rahmat Haroun, 2008, Panggil Aku Melayu Kuala Lumpur DBP, ms 33.
[3] Hashim, Rahmat Haroun, 2008, Panggil Aku Melayu Kuala Lumpur DBP, ms 53.
[4] Hashim, Rahmat Haroun, 2008, Panggil Aku Melayu Kuala Lumpur DBP, ms 58.
[5] Hashim, Rahmat Haroun, 2008, Panggil Aku Melayu Kuala Lumpur DBP, ms 64.

[6] Hashim, Rahmat Haroun, 2008, Panggil Aku Melayu Kuala Lumpur DBP, ms 114
[7] Hashim, Rahmat Haroun, 2008, Panggil Aku Melayu Kuala Lumpur DBP, ms 149.
[8] Hashim, Rahmat Haroun, 2008, Panggil Aku Melayu Kuala Lumpur DBP, ms 150.
[9] Hashim, Rahmat Haroun, 2008, Panggil Aku Melayu Kuala Lumpur DBP, ms 257-258.
[10] Hashim, Rahmat Haroun, 2008, Panggil Aku Melayu Kuala Lumpur DBP, ms 278.
[11] Hashim, Rahmat Haroun, 2008, Panggil Aku Melayu Kuala Lumpur DBP, ms 313-315.
[12] Hashim, Rahmat Haroun, 2008, Panggil Aku Melayu Kuala Lumpur DBP, ms 318.
[13] Hashim, Rahmat Haroun, 2008, Panggil Aku Melayu Kuala Lumpur DBP, ms 323-324
[14] Hashim, Rahmat Haroun, 2008, Panggil Aku Melayu Kuala Lumpur DBP, ms 325.
[15] Hashim, Rahmat Haroun, 2008, Panggil Aku Melayu Kuala Lumpur DBP, ms 348.

Wednesday, November 4, 2009

ASWARA



Bertempat di Dewan Orchestra, ASWARA, Kuala Lumpur pada tanggal 3 November 2009, jam 4 petang berlangsung acara PERSONA SENI ASWARA di mana saya telah diundang untuk membentangkan sebuah kertas kerja mengenai pengalaman seni penulis berjudul Dari Di.Ar.Ti. ke Panggil Aku Melaju: Pelayaran Kreatif Anak Pelabuhan.
Acara yang dipengerusikan oleh Tuan Haji Abdul Rahim dihadiri oleh Yg Bhg SN Dr Anwar Ridwan, Dekan Fakulti Penulisan, ASWARA, tenaga pengajar dan mahasiswa-mahasiswi ASWARA. Turut hadir beberapa aktivis sastera dan budayawan.
Kunjungan ke ASWARA mengembali kenangan saya mengenai Grup Anak Alam. Rupa-rupanya pengambilan sanggar Anak Alam itu membuahkan sebuah akademi yang menjiwai roh para seniman yang pernah berkarya di premis yang sama pada tahun 70an hingga awal 90an.
Semoga ASWARA`maju jaya dan terus mempertahankana mertabat seni, budaya dan warisan bangsa.