Sunday, June 14, 2009

PEDULI BAHASA

Pemimpin Melayu kini telah menghilangkan jiwa bangsa kita. Bahasa Jiwa Bangsa tinggal retorik yang lapok. Setiap pemimpin Melayu baru menerajui Kementerian Pelajaran/Pendidikan, setiap kali polisi mengenai bahasa Melayu berubah. Pemimpin-pemimpin kita tidak lagi peduli bahasa.

Jika keputusan lulus BI sebagai syarat lulus SPM dilaksanakan, dijangka setiap tahun 130,000 pelajar akan gagal. Yang jelas akan banyak lagi gejala sosial termasuk peningkatan jumlah Mat Rempit.

Ironi sekali, sekitar tahun 70an, surat-surat dalam BI yang dihantar ke Jabatan-jabatan dan Kementerian-kementerian telah dipulangkan kepada penghantar kerana ianya tidak ditulis dalam Bahasa Kebangsaan iaitu Bahasa Melayu. Jika polisi pengagungan BI diteruskan oleh aparat pemerintah (pinjam Bahasa Indonesia), maka tidak hairanlah pada tahun 2020, surat-surat yang ditulis dalam BM akan dikembalikan oleh Jabatan-jabatan Kerajaan kepada penghantar.


(Artikel ini dalam pembinaan aksara, harap maaf)

Thursday, June 4, 2009

PUSTAKA HAYAT PAYA SETUI



Pustaka Hayat Paya Setui


Tanah Paya Setui kaya-raya
Pustaka berharga Darul Iman
flora dan fauna terpelihara
Zaman-berzaman masih bertahan

Ekosistemnya lestari nan bestari
Berkurun lama terjaga rapi
Pustaka hayat khazanah semulajadi
Modal alam biodiversiti.

Rhizophora apiculata berakar tombak
Tempat plankton beranak-pinak
gizi tinggi hidupan air membiak
Paya Setui pelindung ombak
Ekologi memulihara pantai tak rusak.

Zooplankton berdansa girang
fitoplankton bercanda cahaya
Hidup subur di bawah rimbunan nipah,
Tumu putih, api-api dan katung laut,
Rumput laut bersenda gurau
di kelembutan arus gelombang
dasar paya laut menari bersama
Rumpai agar ‘kerabu sarer’yang enak jadi juadah di lidah.

Fauna dan Tanah Paya Setui
Suatu kesatuan ekosistem intim
Antara air tawar dan masin
demi kitaran hayat ikan,
udang, ketam, tiram dan lokan
Labi-labi, belacak dan siput-siputan
Saling bergantung rangkaian makanan
Jadi rezeki fauna nelayan
Asalkan bijak menatang kestabilan
Agar ekosistem kekal tanpa ancaman.

Kekayaan Tanah Paya Setui dicemburui
Kontraktor dan usahawan
Membina pembangunan atas kuburan
Fauna dan flora alami kemusnahan
Tiada pemulihan tiada pemugaran
Piramid ekosistem rapuh dirobohkan
Tanpa simpati hijau dan belas kasihan
Rakus menggondol tanah payaberhutan
Melahap kekayaan sepenuh tenggorokan
Nanti tiada lagi Pustaka Hayat
Taman Paya Setui yang ditinggalkan
Untuk generasi mendatang menatapnya
Yang tertinggal melulu kenangan.


Catitan pustaka : Nakisah et all,2003 Setui Wetlands, UMT Publishers
Dan kunjungan singkat ke Tanah Paya Setiu, Terengganu. (24/8/2007 – 26/8/2007)
Disudahi di Padang Gaong, Ulu Melaka, Langkawi1.9.2007