Friday, May 28, 2010

Laman Permai

Laman permai ini berbunga kembali

menyerikan taman menyejukkan sanubari

resah lenyap seketika

segala derita hilang di pukauan mata




Laman permai ini berbunga kembali

jadi singgahan sekawan kupu-kupu

sanggar ria buat kerabat serangga

bermain sinar pagi yang bercahaya

Damai di hati memandang nikmatnya


Laman Permai berbunga kembali
kembangan mekar merah berseri
menyerikan taman indah sekali
gulana pilu memudar di hati
mungkin usia ditaklukki emosi
Taman berbunga mengiringi meditasi
Laman Permai berbunga kembali
Bunga purba kembang sesekali
Kutanya habis serantau kanan di penghujung kiri
Tiada jawapan yang daku temui
Tumbuhan kuno berbunga misteri
menyambut daku di taman duniawi
tentunya lebih hebat skapfidausi
pasti di situ aku menanti.
PD, NS 30 Mei 2010 jam 1.21 dini pagi.

SESENJA USIA


Tika senjakala mempamer rona-rona gemilang,
Sejenak tiba, mentari akan membenamkan pijarnya
ditelan ufuk di remang awalnya malam
Namun sang mentari bakal kembali
menayang garang benderangnya siang
Tetapi tidak pada nestapa insan lanjut usia

Yang tersisa hanya bayang-bayang silam
Wajah tuanya melenyapkan rona-rona ceria
menghilang warna-warna cinta
Dalam kelam terbenam cerita-cerita bahagia

Memadam segala memori sepahit cuka
Tiada lagi mentari usia untuk menyinar
Di kala pagi, siang dan senja

Selamat Tinggal Muda Belia

(khas buat Warga Emas: 28 Mei 2010)
Seri Ratu & Spa, Port Dickson, NS

Wednesday, May 26, 2010

Kesedihan ini



Kesedihan ini

memilukan

akan diri

terbiar kasih


Diri ini terdera selalu

lalu

bangkit dengan jiwa yang terluka

membebati sendiri

luka-luka yang tampaknya abadi


Bilakah deraan ini berakhir?
Pada setiap derita kujunjung kerana hikmahnya

Kutanggung setiap perit sendiri

Tanpa belai

Tanpa simpati

Tanpa empati

Akan kubiar luka-luka ini

sembuh sendiri

meskipun parutnya

sebesar bima-sakti.





4.30 pagi 27.5.2010


Ulu Melaka Langkawi.

Friday, May 21, 2010

Benarkah Penyair Mati Muda?



Benarkah penyair mati muda?

If you're afraid to die, you will not be able to live. James Baldwin 1924-1987, African-American Writer, Dramatist, Poet, Civil Rights Activist

Death is not the greatest loss in life. The greatest loss is what dies inside us while we live. Norman Cousins 1915-1990, American Editor, Humanitarian, Writer


“Poets die young” demikian tanggapan yang pernah dilontarkan terhadap kalangan penyair beberapa tahun yang lalu untuk dicerna. Kajian itu dilakukan oleh Dr James C. Kauffman dari Institut Kajian Pembelajaran, California State University. Dr Kauffman , seorang psikologis, juga Pengarah Learning Research Institute bertempat di San Bernardino, California, USA, membuat kajian tabulasi purata usia kematian berdasarkan gender bagi novelis, penulis drama, penyair dan penulis non-fiksyen (prosa).

Beliau mengumpul data kematian hampir 2,000 penulis ternama di abad ke 19 dan 20 dari Benua Amerika (termasuk Kanada dan Mexico), Turki, China dan Eropah Timur. Cukup menarik kesimpulan yang dibuat atas hasil telitian beliau. Menurut beliau, statistik tidak berbohong. Jelas, penyair mendahului (siapa meninggal dunia dahulu) dalam perbandingan jangka hayat di antara sasterawan (penulis). Maknanya penyair meninggal dunia lebih awal dibandingkan dengan penulis fiksyen (novelis) dan penulis non-fiksyen.


PURATA USIA KEMATIAN PENULIS
Jenis Penulis Overall Americans
Penyair 62.2th 66.6th
Penulis Drama 63.4th
Novelis 66th
Penulis Prosa 70.6th 72.7th


Jika data yang sama dibandingan sainstis sosial, penyair cuma dapat hidup purata 59.6 tahun dibanding 73.5 tahun untuk sosial saintis, penulis prosa 70.6 tahun sedangkan penghibur muzikal mendahului penyair dengan purata usia kematian 57.2 tahun.

Angka purata tentunya tidak menggerunkan penyair kerana ramai penyair lain dapat hidup lama. Tetapi jika disoroti beberapa penyair yang mati muda seperti penyair Amerika Sylvia Platia yang meng-gaskan kepalanya ke dalam ketuhar, mati pada usia 30 tahun, tentu kita tersentap seketika. Bunuh diri di kalangan penyair bukan terbatas kepada penyair wanita sahaja, penyair Hart Crane mengakhiri hayatnya dengan terjun ke laut dari dek kapal pada usia 32 tahun. Kadar bunuh diri di kalangan penyair menjangkau lebih 4 % dibandingkan hanya 1 % dalam populasi umum.

Nama-nama penyair lain yang meninggal relatif muda seperti Sarah Teasdale 49 tahun, Anne Sexton 47 tahun dan Dylon Thomas pada usia 49 tahun. Kematian penyair Paul Laurence Dunbar pada usia 30 tahun kerana diserang penyakit Tuberculosis (batuk kering) tentu mengingatkan kita kepada penyair Nusantara teragung, yang amat terkenal dengan puisi AKU “Aku binatang jalang / dari kumpulannya yang terbuang...........”, Chairil Anuar yang juga menjadi korban penyakit Tuberculosis. Tidak seperti bait immortalnya ‘Aku mau hidup seribu tahun lagi’ beliau tewas setelah kalah berjuang melawan penyakit TB pada tahun 1949 dalam usia belia 27 tahun.
Puisi Aku ditulis pada bulan Maret 1943, enam tahun sebelum kematiannya.

Seorang lagi penyair Nusantara yang gugur awal adalah Amir Hamzah yang terkenal dengan puisi Buah Rindu dan Nyanyi Sunyi. Amir Hamzah dipercayai dibunuh pada tahun 1946 dalam usia 35 tahun. Pembunuhnya atau pembunuh-pembunuhnya menyangka dia seorang feudalis, penyokong Belanda; disebabkan dia berdarah bangsawan. Hanya pada tahun 1975, beliau diikhtiraf sebagai Pahlawan Bangsa Indonesia.


AKU

Kalau sampai waktuku
'Ku mau tak seorang kau merayu
Tidak juga kau Tak perlu sedu sedan itu
Aku ini binatang jalang
Dari kumpulannya terbuang
Biar peluru menembus kulitku
Aku tetap meradang menerjang
Luka dan bisa kubawa berlari
Berlari Hingga hilang pedih peri
Dan aku akan lebih tidak perduli
Aku mau hidup seribu tahun lagi

Chairil Anwar Maret 1943


Di Afghanistan juga kehilangan seorang penyair wanita pada usia 25 tahun pada tahun 2005. Beliau ialah Nadia Anjuman, meninggal dunia dalam kontraversi antara di bunuh suaminya atau dia membunuh diri. Pihak keluarga suaminya tidak membenarkan autopsi. Nadia menulis dalam antalogi sajak “Kembangan Gulita Merah.”
Petikan stanzanya:
Tika malam, kata-kata ini datang kepadaku
Atas panggilan suaraku, kata-kata datang kepadaku

Kutidak tahu dari mana datang kata-kata indah itu
Oh bayu segar, larikan kesunyian jauh dariku

Dari gemawan cahaya datang sinar ini
Tiada ada hasrat lain yang mengunjungiku

(terjemahan bebas oleh penulis)

Persoalan timbul sekarang, kenapa penyair mati muda? Apakah penyair merupakan insan yang jiwanya luka, hatinya merana.
Secara apriori, saya mengandaikan penyair menggunakan otak mereka secara berlebihan dan untuk menghasilkan pemikiran puisi terpaksa menggunakan tenaga (baca ATP) yang cukup besar. Otak yang berfikir mempunyai kadar metabolisme yang tinggi. Teori terbaharu mengatakan setiap buah fikiran merupakan perangkaian pelbagai jenis protein yang disintesis sekelip mata sehingga menggunakan tenaga yang besar pula. Akibatnya tenaga untuk menjana imuniti juga terjejas. Apa lagi penyair ramai yang sukar tidur dan menghabiskan masa tidur untuk berkarya. Ini merupakan hanya suatu andaian bestari atas logika biologi.
Sebahagian penyair yang mati muda itu bukan kerana kemalangan atau penyakit tetapi bunuh diri.

Apakah nuansa-nuasa penyair yang bunuh-diri itu memperlihatkan keinginan untuk melaksanakan niat yang tersirat. Menurut suatu kajian yang dilakukan oleh Prof. James Pennebaker, seorang profesor dalam bidang psikologi dari University of Texas, USA, ke atas sejumlah penyair yang bunuh-diri dari Amerika, UK dan Rusia, terdapat kata-kata kunci yang mungkin boleh dikaitkan dengan tragedi bunuh diri di kalangan penyair. Kajian ini berdasarkan analisis karya-karya mereka yang dikaji-banding dengan sejumlah penyair yang tidak membunuh diri.

Menarik sekali dari hasil kajian Prof Pennebaker ini, bahawa kesemua penyair-penyair yang bunuh-diri gemar menggunakan perkataan AKU secara berlebihan. Perkataan “I” , “Me”, dan “My” menjadi pilihan penyair-penyair kelompok bunuh-diri. Jarang sekali menggunakan perkataan ‘mereka”. Kelompok ini dikatakan jarang menggunakan perkataan bersemantikkan ‘bicara/bercakap” (talk), ‘berkongsi’ (share), dan ‘mendengar’ (listen) dibanding kumpulan penyair yang tidak bunuh-diri.
Puisi-puisi dari penyair-penyair kelompok bunuh diri banyak memaparkan penyendirian, krisis pengenalan diri malah isu hubungan dengan masyarakat dipersembahkan melalui rujukan “Aku’. Kelompok ini gemar mengguna naunsa-nuansa negatif seperti ‘benci’ atau bernada benci tetapi tiada perbezaan dalam penggunaan perkataan ‘cinta’ dalam kedua-dua kelompok. Memang secara statistik, penyair lebih banyak membunuh-diri jika dibandingkan dengan para-penulis genre lain-lain malahan lebih tinggi dari populasi awan. Kenapa? Menurut Prof Pennebacker, penyair berkecenderungan menghidap penyakit depresi dan gangguan bipolar. Kesimpulan: Berlebihan menggunakan perkataan “Aku” boleh digunakan sebagai pedoman atau petunjuk untuk mengesan kes-kes bunuh-diri di antara penyair (lebih awal, bukan posthumous). Walau bagaimana pun, Prof Pennebaker menambah, ‘ ini bukan bermakna jika anda banyak menggunakan perkataan “Aku” secara berlebihan dalam puisi-puisi, anda akan membunuh-diri’. Ianya bukan hubungan sebab-akibat.

Semoga paparan ringkas ini mengundang perbincangan antara penyair dan pemuisi. Jika anda ada info mengenai penyair Malaysia yang kembali ke rahmatullah pada usia belia di bawah 40 tahun, jangan ragu-ragu, kongsikan bersama dengan menghantar mesej dalam artikel ini.

Salamsastera.

Rahmat Haroun Hashim
Padang Gaong, Ulu Melaka, Langkawi
Diedit semula pada 21 Mei 2010 di Kedah Medical Centre, Alor Setar.

Tuesday, May 18, 2010

Apologi buat jantungku

(image jantung di atas ialah jantung sendiri, real, single vessel Coronary Heart Disease pada Left Anterior Descending Coronary Artery dengan sumbatan sebanyak 75%) Dengan Angiography ternyata 90%.




Sejuta maaf padamu jantung

hari ini sumbatan salornadimu terpaksa dipulihara

Ampunkan dosa-dosa gastronomik

yang lidahku lakukan sekian dasawarsa

dari gelojoh selera bersalut racun

minyak tepu berbahaya nyawa

dalam setiap gorengan

dalam sup-sup tulang yang kuhirup

dalam nasi bergulai santan,

dalam gulai lemak cili padi

dalam sambal tumis kesayanganku

dalam nasi lemak di saban pagi

dalam nasi minyak di musim kenduri

dalam nasi kandar minyak bergelenangang

dalam mabuk lemang dan rendang di hari lebaran
dalam roti canai dan teh tarik

dalam steak daging bercholestrol tinggi

dalam daftar dosa gizi yang tak terdaya ku tulis lagi

sepanjang seluruh urat darah tubuhku kucemari

racun minyak tepu yang menyumbati

salornadi jantung bernama LAD.


Meskipun aku bukan perokok,
tapi aku tak melari diri
bila perokok yang menghampiri

khilafku sendiri ikut tersedut sepi-sepi
sembang perokok berlangsung sejenak mari
namun cukup menyumbat salornadi.



Aku telah menderamu jantung dengan stress kerja

dari 9 pagi hingga ke malam yang sudah tua

Tiga dasawarsa jantungku kebuluran rehat

aku perawat yang gagal menyelamatkan

diri dari terkena sakit jantung koronari

Teladan yang buruk bagi insan pemusuh penyakit
yang hariannya berkhubah di mimbar pencegahan

sebagai pendakwah kesihatan yang gagal total

semudah, cakap tak serupa amalam.



Aku nasihat pasien ku untuk berolah-raga

bersenam 20 minit 3 kali seminggu.

Tapi pengakuan ini menambah dosa

Allah tidak rela

datangkan musibah jantung agar daku sedar

Tetapi Allah masih sayang

diturunkan alamat hingga ada malaikat kardiologist

yang membuat cadangan pemeriksaan COROS

seperti imajannya tertera di atas.



Tetapi aku tidak 100% bersalah,
genetik mendominasi

kedua-dua adik lelaki

sudah tiada bersama kami

mereka telah lama pergi

kerana kasih Allah kepada mereka

jauh lebih tinggi.

Selepas ini akan secepatnya kembali

sebagai insan sedari diri

menjaga kurniamu yang Al-Mussawari

dengan penuh ikhlas menabur bakti
apa yang kudakwah

itulah yang kuamali, sepenuh ikhrar dan janji.





AMPUNKANLAH AKU

JANTUNGKU

AKU BERTAUBAT!






(Satu jam lagi saya akan dibedah demi dosa gizi yang kulakukan selama ini)

Alor Setar, 1.28 petang 19 Mei 2010 Bilik no 415, Kedah Medical Centre)










Antara Sydney dan Langkawi


(foto kaki lima di Sydney; pokok pun dilindungi)

Antara Sydney dan Langkawi terdapat dua pendekatan yang berbeza. Majlis Bandaraya Sydney sangat menyayangi pokok yang telah ditanam untuk menghias kaki lima jalan. Bila ada kegiatan pembinaan berdekatan dengan pokok-pokok tersebut akan dibalut kemas dengan bahan kukuh yang mampu melindungi perdu dan batang pokok-pokok itu.





Sangat berbeza dengan Langkawi, lubang di tengah-tengah kaki lima jambatan berbulan-bulan tidak dibaiki dan tidak ada papan tanda atau amaran agar pejalan kaki berwaspada malah lampu di menara jambatan tidak diperbaiki.


Akibatnya nanti ramai yang menjadi mangsa.



(foto kaki lima di Langkawi sebagai perangkap kecederaan untuk pelancong menanti lubang yang terus terbias oleh Majlis Perbandaran Langkawi, Kononnya Bandar Pelancongan).










Thursday, May 13, 2010

LUBANG YANG MAHAL



Lubang ini berada di jambatan Sungai Kuah berhadapan Hotel Baron. Tidak saya sedari ketika saya rebah di lubang ini disaksikan oleh Penyair Jamaludin D dan Pemantun Ismail Restu setelah makan malam di Jai Cafe untuk menemani mereka pulang ke Hotel Baron, telah menyebabkan musibah kecederaan di bahu kanan dan kiri saya.

Saya terpaksa menjalani pembedahan bahu endoskopik pada 21/4/2010 di Kedah Medical Centre. Kos pemeriksaan dan pembedahan mencecah RM 50,000.00.

Saya bimbang dengan lampu di menara jambatan juga masih padam, lubang itu akan memakan mangsanya lagi.

Semoga pihak berwajib mengambil tindakan sepatutnya demi kepelancongan Langkawi.