Saturday, June 19, 2010

Kematian Indah

















Kematian indah dinanti sudah
Silam berlalu, mendatang kini
Kini bukan sekarang lagi
Sekarang bisa mengundur ke belakang kala
Penantian usang sesenja usia
Menanti kematian tak kunjung tiba
Lalu memburu mati, mau kurangkul kesyahduannya
Kunanti misteri lena terakhir
Mau kusingkap rahsia kematian
Mati nan manis yang kunanti
Kapan bisa kuseru
Selamat datang Kematian
Teman sejati kunanti
Bersama hijrah abadi
Mati aku sedia datang kepadamu........
Subang Jaya 10.1.2008

Tuesday, June 15, 2010

TANYALAH KEPADA TUHAN














Tanyakan pada Tuhan

Tanyakan pada Tuhan
Kapan Bush akan didakwa?
Atas jenayah kemanusiaan
arkitek kematian ribuan nyawa awam
Yang terkorban akibat metafora perang
Kemusnahan kolateral
Tanyakan pada Tuhan
Bilakah Bush akan dipenjara?
Atas tindakan pidana terhadap rakyat Iraq
Yang tidak berdosa.

Tanyakan kepada Tuhan
Kapan Blair akan didakwa?
Membunuh ribuan kanak-kanak Iraq
Yang maut kerana ketiadaan vaksin
Yang tewas akibat ketiadaan antibiotik
Dalam embargo terhadap kemanusiaan
Atas alasan rekaan
Senjata Pemusnah Besar-besaran!

Tanyakan kepada Tuhan
Kapan Natanyahu diheret
ke Mahkamah Keadilan Internasional
Atas pembunuhan 19 aktivis kemanusiaan
Di atas kapal kargo Freedom Fortila
Di perairan antar-bangsa
Lupakah Tuhanku
akan pembunuhan demi pembunuhan
Umat Palestin yang tidak berdosa....

Kapan Tuhan menjatuhkan vonisMU
Kapan? Aku mau jawabanMU
Apakah Tuhan menunggu umatMU
Dari Maghribi ke Gorotalo bersatu?
Oh Tuhan! Amat sukar kataku ya Tuhan,
Di mana mungkin Tuhan, di kampungku sahaja
Sembelihan orang Islam tidak disentuh Muslim yang lain
Solat jenazah dua kali karena berbeda partai
Merentasi bumi Islam
Sunni dan Syiah bertukar ledakan maut di masjid
Taliban saling membunuh Mujaheedin
Apakah Tuhan menghukum umatMu
Karena mereka gagal bersatu-padu?

Subang Jaya 15 Juni 2010.






Sunday, June 13, 2010

ASAP ROKOK SI BAJU KURUNG


Selesai solat Jumaat
kukunjungi restoran di Sunway
Seorang perempuan Melayu tak kupanggil wanita
Berbaju kurung jingga berkembang bunga
Wajah ayu cantik mempersona
Namun sebatang rokok tersepit di bibirnya
Gemawan asap rokok terhembus bangga
Inikah tanda emasipasi mulia kaum hawa?
Lebih bersalahkah perempuan Melayu berbaju kurung
menghisap rokok di khalayak ramai daripada lelaki jantan perkasa menghisap rokok mendukung anaknya?
Apakah aku adil menghukumnya?
Walaupun dengan lirik pandangan di sudut mata
Aku tak bisa panggilmu wanita, wahai perempuan
Tak sampai hati nak panggil perokok betina
Aku tidak suka menghina sesiapa
Apa pun gelaran perempuan atau betina
Kau pernah menjadi gadis, puteri dan wanita
Kau menolak gelaran semantik halus dan sopan
Memilih menjadi betina atau perempuan
mangsa nikotin dikau jadi korban
kesan sampingan pembangunan
Kau jadi perempuan bukan wanita santun
Penjunjung budaya pencermin bangsa
Apakah adil kupanggil kau perempuan?
Apakah ia emansipasi yang tersasar?
Subang Jaya 7.9.2007

Saturday, June 12, 2010

BUMI SEMAKIN MURKA













(Generasi mendatang tidak berpeluang menyaksi dengan mata sendiri)



Murka bumi semakin nyata
Karena manusia menderhaka
Pada wismanya dunia
Dengan pembakaran karbondioksida
Menanak panas seluruh buana

Di khutub selatan dan utara
Gunung-ganang menangis hiba
Bongkah-bongkah es roboh laung merana
Karena tindakan durjana manusia
Rakus membakar emas hitam berjelaga
Demi energi yang menjana
Pembangunan yang membinasa
Kelestarian bumi manusia

Amarah bumi menggoncang buana
dalam gempa dan bencana
Bumi didera manusia sekian lama
Melampaui satu milinia
Bumi semakin murka
Membakar rimba belantara

Ada kala bumi menangis derita
Tangisan bumi banjir membinasa
Menghilangkan banyak nyawa
Memusnah harta penghuni dunia
Murka bumi beralamat dengan petanda
Namun manusia gagal membaca
Bencana alam hanyalah agenda berita
Bumi semakin murka
Penghuni dunia yang menderhaka
Taufan katrina dimana-mana
Tsunami melanda separuh dunia
Sumpahan bumi pada manusia
Akibat bumi didera
Jiwa bumi memberontak ‘gila’
Gunung berapi memuntah lava
Langit gelap gulita
Mendung legam menutupi suria
Manusia masih gagal membaca
Petanda bumi yang murka.

Subang Jaya 12.6.2010








Thursday, June 10, 2010

SEPI MENYAPA LAGI



Sepi menyapa lagi
Kala selubung duka menyelimuti diri
Badai gulana menggelora di sanubari
lautan gundah diharungi sendiri
Cuma syair pilu betah menemani

Derita luka menahun lama
Hanya sunyi buat bercanda-ria
Jadi penawar siksa nestapa
Di pinggir rimba kulerai lara
Bersama unggas dan margastua
Kicauan burung sepi-ku disapa
Kera-kera hairan gerangan petapa


Sang unggas bercerita dengan rama-rama
Berbisik mereka aneka muzika
peduli apa pada duka petapa
mereka riang tanpa mengenal duka
Kupingin jadi seperti mereka
Bebas duka bebas sengsara
Meredah hutan merentas belantara
Hanya daku seorang petapa di pinggir rimba
Merintih sedih emosi terluka
Bagaikan kaca menghiris deria
Ragaku berkecai meruntun jiwa
Duhai alam kumenghimbau hiba
Kepada rimba kubertanya
Di sinikah tempat mencari bahgia?

Wednesday, June 9, 2010

Syair Anak Perantau


Syair Anak Perantau


Memori silam kerap silang mendatang
Menyulami mimpi kemuliaan seseorang
Ibu indekost senantiasa dikenang
Kenangan manis kebaikannya tak terbilang.

Segala keperluan ditatang rapi
Aku diumpama anak sendiri
Dengan 15 ribu rupiah berbilik sendiri
Makan-minumku tiga kali sehari
Malah air panas dijerang setiap pagi
Buat berwuduk dan untuk bermandi.
Di meja makan Bapak Soedoro menanti
Bersama-sama santap sarapan pagi
Di hujung minggu dengan Bapak makan tengahari
Makan malamku senantiasa ditemani
Dengan obrolan yang menyenangi hati.

Ibu Sundoro sering memuji
Kalau tetamu bertanya gerangan diri
Teruna seberang dinas studi
Dari kamar terdengar ibu berperi
‘arek jempolan’ baik pekerti
Sayang sekali Ibu Sundoro tidak berputeri
Pasti daku pilihan di hati.

Pada mula aku tidak tahu
Erti nya panggilan ‘Ndoro’ buat daku
Mbok menyapa hormat gelaran itu
Begitu juga puteranya yang satu
Setiap hari ‘Ndoro’minta sepatu’
Disemir hingga kilau berkilat selalu
Mbok seterika celana dan baju
Kwalitet kerja diperiksa Ibu
Pada suatu hari kutanya Ibu
Apakah makna kata “Ndoro” itu
Diberitahu ibu baru kutahu
Belum pernah ku dipanggil begitu
“Tuan Muda” bagi perantau seperti aku
Gelaran itu bukan yang aku mahu
Hanya seorang perantau yang menumpang lalu
kebaikan Ibu terpahat di kalbu


Padang Saga, Ulu Melaka, Langkawi
10 Jun 2010.


Saturday, June 5, 2010

Sekuntum Senyuman Bahagia buat seorang thabib


Sekuntum Senyuman Bahagia buat seorang thabib

Tiada ganjaran yang kupinta
Sekadar sekuntum senyuman sembuh
Dari derita yang kau tanggung.

Tiada bayaran yang secantik
Wajah ceria sepulih asal
Dari sengsara penyakit yang menghimpit jiwa-raga.

Tiada terukur kebahagian
Di raut muka sejoli bercinta
Tujuh tahun tiada bercahaya-mata
Puas mereka mencuba serantau desa
Seluas kota
Hasrat dan cita kubantu cara
Bila dikhabar berita gembira
Si isteri berbadan dua
Gembira tidak terukur rasa
Menadah tangan syukur anugerahNya
Bahagia mereka bahagia ku juga.

Tiada terimakasih yang kutagih
Bila kepala botakmu kembali tumbuh
Dengan rambut subur menghiasi mahkota
Kau bergaya penuh yakin

Tiada pujian yang kupinta
Pada licinnya paras wajahmu
Yang dulu mengeruru berjerawat batu
Enam bulan kaurajin datang
Kaui jadi selesa berada
di kalangan sebaya remaja
Kompleks rendah diri meminggir pergi

Tiada ufti yang kutuntut
Pada sengsara kelakian yang melembut
Kembalikan gagah perkasa di ranjang tidur
Membahagia pasanganmu
Sinar kegembiraan mencerah cengkrama
Itulah saja kado yang kuterima
Tempo-tempo ku disogok traktiran makan di restoran
Tanpa mengetahui daripada siapa?



Langkawi. 25.9.2007

Thursday, June 3, 2010

Sesuci Air Wuduk




Air jernih itu suci
Membersih noda dosa di tangan
Para pelaku kejahatan dan kemungkaran
Berkumuran melarutkan kata-kata nista
yang terlontar keluar dari mulut
yang tidak atau sengaja
ketika marah atau derhaka
Air jenih itu suci
Mencuci hidung dari bauan yang terlarang
Wangian yang melara berahi
Air jernih itu suci
membersih muka dari seribu kepalsuan
mencuci dosa lengan yang pernah memeluk bukan muhrim
di sebalik dahi dan ubun-ubun tersembunyi sarang prasangka,
berwuduk mencairkan bekuan curiga dengan akliah mulia
Membersihkan cuping yang asyik mendengar dusta
Roh air itulah juga
membersihkan kaki yang melangkah ke lorong-lorong gelap lagi merah
Itulah khasiat spiritual air
Sebelum mengadapNya.
Amin.

Subang Jaya 3/6/2010