Saturday, September 11, 2010

SECEBIS SEJARAH HIDUP DI TEBING DAN MUARA SG PINANG


Sungai Pinang Dahulu dan Sekarang.

Penulis dirakam foto still oleh Ayahnda Haroun yang amat berminat dalam fotografi.
Kamera second-hand yang dibeli beliau di Kedai Pajak Gadai di Singapura dengan harga 16 ringgit di zaman beliau mengikut troope bangsawan Din-Tejah.


(Tulisan bapak yang menulis nama Kak Pah (Khamariah) dan nama saya sebagai 'Rhamat'



Sekitar tahun 1952, saya tinggal di tebing Sungai Pinang, Pulau Pinang. Muara sungainya boleh kelihatan dari para tempat emak membasuh pinggang-mangkuk.

Yang menghairankan saya, ingatan atau lebih tepat long-term memory saya masih jelas mengimbau imej-imej dari kehidupan seharian di Sungai Pinang.

Imej-imej itu walaupun dirakam pada usia bocah dua tahun namun ianya masih kekal berlegar dalam benak hippocampus saya (tempat penyimpan memori). Dan kerap menayangkan semula peristiwa-peristiwa harian yang pernah saya alami.

Suatu memori trivial yang sering berulang ialah saya dan dua kakak saya (Kak Pah dan Kak Lat) bermain-main dengan gerakan air pasang di halaman rumah. Masanya tengahari gedik (istilah Melayu Tanjung/Penang) dengan panas terik, saya akan menanti pergerakan air pasang menghampir kaki dan kemudian berundur. Kak Pah di depan saya dan saya hanya agak Kak Lat di belakang. Tetapi wajah Kak Lat tidak terakam, hanya perasaan merasa seseorang ada di belakang.

Imej-imej lain termasuk flora-fauna di sekitar rumah, anak-anak pokok bakau, rumput-lalang, sarang udang ketak (lobsters) yang menggunung dengan tengahnya berlubang dan Sungai Pinang yang bersih pristin.

Menuruk Kak Pah, air Sg Pinang yang jernih itu berbeza sekali keadaannya kini dan tahun 80an ketika saya berpeluang menghampiri sungai itu dari kejauhan, nyata sangat kotor, tercemar dan berwarna hitam legam akibat pembuangan minyak hitam dan polutan lain-lainnya. Dulu lumpur dan selut berwarna hijau muda seperti warna foliage dedaunan pohon bakau yang merimbuni tebing yang tidak didudukki penghuni. Air Sungai Pinang tahun 1952 itu merupakan habitat pelbagai hidupan marin unik pertembungan air tawar dan masin. Dari ikan-ikan yang berjenis-jenis, ketam-ketam, belacak dan macam-macam makhluk marin tawar-masin. Anda tidak memerlukan jala atau kail untuk menangkap ikan-ikan itu. Cukup sehelai kain batik lusuh yang dipegang di penjuru-penjurunya dan tidak memerlukan masa yang lalu untuk menunggu masa yang lama bagi ikan-ikan itu memasukki bubu kain batik. Kain batik lusuh itu jua diguna untuk menangkap udang-ketak (lobsters) dengan memasukkan hujung kain batik ke dalam pintu puncak bukit sarangnya. Losters itu akan mengepit pada hujung kain batik, kita cuma menariknya keluar.

Yang menghairankan saya, bagaimana mungkin saya mampu mengimbau dengan jelas meskipun terpencar-pencar pengalaman visual pada usia cilik dua tahun. Tetapi ianya suatu kenyataan rakaman minda yang tidak dapat saya nafikan.

Mengambil pengajaran dari pengalaman ini memperkuatkan ikhtiar untuk mempromasikan pendidikan pra-sekolah lebih awal pada kanak-kanak Malaysia pada usia tiga tahun. Malahan, program pendidikan harus bermula sejak dalam kandungan ibu 8 minggu dan dilanjutkan semasa nurseri dan bermula mengajar membaca pada bayi 2 bulan.

Semoga perkongsian pengalaman masa bayi dua tahun boleh dijadikan asas pendidikan awal bayi dan kanak-kanak dalam merangsang pembentukan hubungan dendrit-dendrit antara sel-sel neuron di otak mereka. Dan jika anak-anak saudara yang merancang untuk mendapat anak, posting-posting awal "Memperkasa Melayu melalui genetik'' adalah relavan.







No comments:

Post a Comment