Friday, January 6, 2012

Bunga Asar


*
Bunga Asar Bunga Kederat
Tanam di pasu bertingkat-tingkat
Mekar Kederat di pukul empat
Masuk waktu ayuhlah solat.

Pantun Bunga Kembang Pagi

Petik Bunga Kembang Pagi
Memanjat erat dekat dahan
Bagaikan Zulaika sayang suami
Ibarat paku lekat di papan

Pantun Bunga Mawar


mekar bergaya bunga mawar
duri tajamnya menikam jari
Biar agama menjadi akar
Budi bahasa perhiasan diri.

Pantun Air Mata Pengantin


Bunga Air Mata Pengantin
Di atas batas tumbuh bergaya
Maaf zahir dan batin
Usah terbatas di Hari Raya

Pantun Bunga Tasbih


Tabur di kolah bunga tasbih
air telaga berwuduk-solat
Dengan Allah bercinta kasih
Wajah bercahaya penuh maghrifat

Pantun Bunga Cina


Putih bersih si bunga China
Harum semerbak menyeri taman
Nama saintifiknya gardenia augusta
Tak tahulah sedap kalau dimakan

Pantun Bunga Kiambang


Apa ada bunga kiambang
Hanya cantik harumnya tiada
Jangan diharap kepada kumbang
layu bunga terbanglah ia.

Pantun Bunga Melor


Bunga jasmine bunga melati,
bunga melur panggilan utara,
kalau demikian katanya hati,
usah dibiar merana lama.

Pantun Bunga Kasturi


Bunga kasturi semerbak wangi
Dipakai puteri dalam istana
Baik pekerti hiasan diri
Ke mana pergi ramai yang suka

Pantun Bunga Anggerik


Angerik bunga golongan bangsawan,
meskipun berasal dari hutan,
cerdik pandai majulah ke hadapan,
memimpin bangsa membawa kemajuan.

Pantun Pembayang Ribut


kalau tiada ribut membadai
Masakan kelapa tumbang menyembah
Kalau tiada mertabat tergadai
Masakan bangsa tersungkur rebah.

Pantun Meminang


kalau benar mahu berenang
Berkolek dulu sampai ke hulu
Kalau benar mahu meminang
Jangan orang tertunggu-tunggu

Pantun BUnga Kemboja


Bunga Cina bunga kemboja
Jadi hiasan di meja makan
Apalah ada kepada saya
Rupa tiada kaya pun bukan.

Pantun Bunga Tanjung


Harum wangi bunga melati
Harum lagi bunga tanjung
masa muda menurut hati
sudah tua badan menanggung.

Pantun Bunga Raya


Bunga raya kembang sepatu
Bunga kebangsaan negara Malaysia
Marilah rakyat semua bersatu
Negara bangsa satu bahasa.

Pantun Bunga Siantan


Bunga jejarum Bunga siantan
di tangkai lagi sudah layu
Pantang dicabar anak jantan
Takut tidak musuh seribu.

Pantun Bunga Kemuning


Berdahan rimbun pokok kemuning
Tempat berlindung beburung unggas
Sudah tahu kepalaku pening
Mengapa dipaksa aku bertugas

Pantuk Bunga Dan Nyamuk


Kupeluk bimasakti langit membelah
Kupeluk teluk menjadi tsunami
Kutepuk bumi gunung menyembah
Kutepuk nyamuk haram tak mati.

Pantun Bunga Kertas


Tampak sederhana bunga kertas
Cantik lestari berwarna warni
Banyak wanita berada di atas
Ramai lelaki ke Pusat Serenti

Pantun Bunga Sukun


Jarang tenguk bunga sukun
Enak digoreng buahnya
Hidup di Malaysia hendaknya rukun
Aman damai permai sentosa

Pantun Bunga Ceraka


Bunga ceraka berdaun pandan
Bunga kantan mekar petang
Apa celaka nasibnya badan
Permata di tangan disambar orang.

Pantun Bunga


Bunga matahari kembang petang
Stigmata ditaburi spora jantan
alangkan jauhari tersilap pandang
Kaca disangka intan berlian