Penderaan guru tahun 2005 dibandingkan masa saya tahun1961.
Tidak dapat dinafikan tugas guru tidak ternilai sumbangannya sebagai pendidik, pembentuk insani di usia formatif, pengajar, pemahat peri-laku murid/pelajar yang sebahagian besarnya berada di tangan mereka. Amat ramai insan mulia telah berjasa dan berjaya dalam kerja mereka dan seperti manusia lainnya, aku terhutang budi kepada mereka.
Namun diantara mereka ada yang bertopengkan guru. Disebalik topeng guru terdapat pembuli, penghancur, 10% pesakit jiwa, perogol, perversi seks, pemalas dan anti-pendidik (tidak digelar guru tetapi GURI; manusia yang bertopengkan guru tetapi tangan-kakinya penuh onak berduri).
Dari darjah(tahun) 1 hingga 3, tiada pengalaman pahit yang kurakam. Hanya kawan-kawan sedarjah kena pukul dengan rotan atau penggaris di tapak tangan kerana tidak buat kerja rumah, berbuat bising, tidak membawa buku, tidak memotong kuku dan sebagainya. Kadang-kadang kawan-kawan kena tulis di papan hitam kerana terlambat datang sekolah. Di peringkat ini, belum lagi ada duster (satu sisi blok kayu) terbang hinggap di kepala. Mulai darjah 4, duster terbang itu kerap pula meluncur kepada sang murid yang lagi tidur atau tidak memberi perhatian atau bersembang/kadang-kadang hanya berbisik dengan kawan di belakang. Alat penderaan guru ketika itu adalah batang bulu ayam, rotan dan senjata maut guru 'abnormal' tangan, gengaman dan jari. Lapan lokasi tubuh kanak-kanak yang digemari guru-guru pendera antara tahun 1958- 1963 (darjah satu sampai enam) ialah meluku kepala, menampar kepala dari belakang, memulas telinga seperti warna udang kena bakar, menjentik telinga (tergolong guru2 baik), menampar muka, mencubit sambil memulas perut kanak-kanak, mencubit ganas paha kanak-kanak, memukul punggung dengan rotan atau batang bulu ayam, merotan atau memukul dengan penggaris di telapak tangan, mencubit di bahu atau di bahagian paha. Selama saya belajar tidak pernah melihat guru menumbuk pelajar meskipun kini pernah berlaku dalam dua arah antara guru dan pelajar.
Walaupun jumlah manusia bertopengkan guru hanya 10% tetapi kesan yang mereka lakukan kepada murid/pelajar mereka berkekalan hingga ke akhir zaman.
Peristiwa yang paling menyayat hati berlaku di depan mata saya sendiri pada tahun 1961. Che Gu "E" mengajar mata-pelajaran tulisan dengan menggunakan dakwat dan pena kayu. Tulisan italicnya meski sempurna seperti apa yang ada pada surat-surat beranak. Seorang murid bernama "M" gagal menulis dengan sempurna. Dia dipanggil guru E yang berikat bow di leher kemajanya di hadapan kelas. Che Gu E besar agam, barangali sesasa jaguh bina-badan Malik Noor tetapi lebih tinggi. Bila tidak puas hati dengan hasil kerja murid "M", tiba-tiba Che Gu E menampar murid 'M' yang kurus kerempeng. Dia tidak jatuh tetapi terkencing-kencing. Kencing habis hingga bertakung di lantai kelas. Dengan nada bengis, Che Gu E memaksa murid berusia 10 tahun itu MENJILAT air kencingnya sendiri. Peristiwa traumatik itu amat berbekas di otak saya. Tidak mungkin saya lupa apa yang "M' lakukan. Saya dan Prof Dr Azmi Md Noor Timbalan VC Uni KL pernah belajar bersama dengan Che Gu E. Tetapi kami tak pernah di-apa-apakan beliau. Saya yakin tulisan Prof Dr Azmi condong, italic dan cantik (kalau kami mahu). Semuanya kerana ketekunan Che Gu E mengajar teknik menulis dengan lentik dan cantik.
Diakhir cerita, Tuhan maha berkuasa dalam membalas guru kejam itu, pada usia senjanya menjangkau 79tahun dia dipatuk ular dan meninggal dunia. Hukum karma pada mereka yang percaya.