Thursday, August 12, 2010

FALSE MEMORY -INGATAN PALSU?

(Gambar Hiasan)

Sebelum bapa berpindah ke PPC Quarters di Jalan Ferry, Butterworth kami tinggal di Hutan Pisang, Tanjung, Pulau Pinang.


Pada tahun awal January 1958, aku sempat bersekolah darjah satu di Sekolah Melayu Kampung Jawa, George Town.


Tidak banyak yang dapat kurakam ingatan semasa bersekolah di Kg Jawa, cuma ingat padang di hadapan sekolah papan berupa tanah liat dan ramai sekali murid. Beberapa wajah di sekolah itu masih bermain-main di ingatan. Ketika bertemu seseorang di halaman sekolah anakku di Subang Jaya, salah satu daripada wajah-wajah itu muncul dalam versi sebaya tua. Aku cuba memulakan percakapan dengannya dalam satu kesempatan. Jelas dia dari Pulau Pinang dari pengakuannya dan profiling pra-sangkaku atas dasar dia DKK (dengan sejuta apologi) assimilasi Melayu. Saban Jumaat, ketika serempak berjemaah dengannya, dia tidak membalas senyuman yang aku lemparkan. Wajah manusia-manusia yang lampau dalam versi kanak-kanak bisa muncul di hadapanku, jika secara automatik hippokampus dan daya ilutrasiku dapat melakar wajah tuanya. Aku berperasangka dia mengenaliku tetapi kerana ketak-pastiannya, dia menghindarkan eye contact seolah-olah meminta aku memutuskan ingatan lampau itu.

Apakah apa yang ku alami itu hanyalah ingatan palsu (false memory). Mampukan otak mencipta memori palsu?


Kajian memang meng'ia'kan kewujudannya. Ada banduan yang dipenjara atas memori palsu para saksi. Mereka adalah mangsa memori palsu yang bisa muncul melalu pelbagai cara dan cadangan bawah-sadar.


Mengabaikan teori memori palsu, saya cuba mengimbau kembali bagaimana peristiwa ingatan lampau dapat bertahan lama. Ini barangkali bertitik-tolak atas pengaruh kejadian traumatik yang menekap kuat di amygdala dan hippocampus saya. (amygdala ialah kilang emosi dan hippocampus organ otak yang menyimpam ingatan).


Seingat saya ketika waktu rehat saya dibuli oleh beberapa murid. Dalam keadaan stress dengan simbahan adrenalin/noradrenalin di amygdala saya, long-term memory potential terpahat kekal di hippocampus sehingga memungkin saya mengingat peristiwa diselamatkan oleh oleh seorang murid yang jauh lebih besar dan tinggi daripada pembulu-buli saya. Wajah penyelamat itu meskipun bertemu 48 tahun kemudian secara automatik dapat aku kenal dengan yakin walapun rambutnya sudah beruban, kerintingnya yang tak kulupa dan ciri-ciri morfologi muka (biometrik) yang dikontruksi semula oleh kemampuan atau pra-sangka otak.

Masihkan itu suatu false memory? Biarlah isu ini terus berlegar di minda dan aku tidak perlu terganggu olehnya. Di bulan yang baik ini, melalui blog ini aku ingin menyampaikan rasa terima kasih kepada beliau yang menyelamatkanku daripada dibuli di padang Sekolah Melayu Kampun Jawa, Tanjung, Pulau Pinang.
13 Ogos 2010, Subang Jaya

No comments:

Post a Comment