Wednesday, April 15, 2009

MENCARI GEN JUARA

Mencari Gen Juara

Dicari segera di seluruh Malaysia
Para jejaka para wanita
Yang jejaka
penjaring gol sebarang liga
Yang wanita
pelari pecut negeri dan negara

Lalu,
Mereka semua diperiksa
Apakah darah bergen juara
Jika ada, kawinkan mereka

Majlis perkahwinan ditaja
Majlis Sukan Negara
Kerana FAM tak punya dana

Pasangan memilih atas suka sama suka
Tidak ada sebarang paksa
Tapi diberi ganjaran setengah juta
Bagi gaji bagi kereta
Lengkap dengan apartmen selesa

Sanggama diatur-selia
Oleh pakar yang memilih baka
Melahirkan gen juara
Lalu bersenyawa
Benih wanita dan jejaka
Calon juara.

Bila hamil di peringkat lembaga
Embrio dibela gizi berharga
Dengan vitamin-vitamin istimewa secukupnya

Bila embrio lapan minggu usia
Alat pendengaran lembaga sudah berderia
Pasangkan di perut ibu tetuang udara
Bunyikan lantang genderang sorakan menggempita

“Ggggoooooooooool! Ggggoooooool!”Ggggooooool!
Begitu juga lain-lain suara
Berkaitan bola
Sepanjang kehamilan hingga
Kelahiran ke dunia
Dunia bola

Bila hari kelahiran bayi juara tiba
Lekatkan di pergelangan tangan mereka
“Hak Penjagaan Di Tuntut Negara”
“Bayi juara milik Majlis Sukan Negara”
Lima hari di institusi
Hanya dua hari dengan ibu-bapa sendiri

Hari pertama bayi di dunia
Latihan bola sepak sudah bermula
Kaki-kaki mereka berantingkan bola
Biar deria di tapak mesra
Menyentuh rasa tanpa perlu melihatnya

Bayi gen juara membesar sempurna
Dengan susu bermutu istimewa
Tambahan vitamin, mineral, DHA, EPA, taurina
Nukleotida, arginina dan bla.. bla ..bla...
ramuan tumbesaran merangsang semua
persiapan untuk jadi juara

Bila mereka boleh berjalan
Sehari dah berlari
Bola sentiasa lekat di kaki
Makan bola
Minum bola
Tidur bola
Fikir bola
Belajar bola
Tonton bola
Tengok katun, katun bola
Segala-galanya bola
Akhirnya hingga dapat merasa bola
Membau bola

Pra-sekolah tiga tahun mereka bermula
Kurikulum dirancang sedemikian rupa
Tersusun rapi jadual berkala
Makan minum disukat semua
Mereka diajar disiplin perwira
Datangkan juara silam dalam arca
Bawa lagenda bola bercanda ria
Membina semangat waja dari semuda belia

Bila mereka dewasa
Gagah lagi perkasa
Tinggi tegap enam kaki semua
Otot dan otak berkerjasama
Membuat formasi seharmoni orkestra

Lincah di padang stamina memanjang
Merasa bola tanpa memandang
Membau kesempatan sebagai penyerang
Menjaring gol bukan kepalang
Nak jadi juara kena merancang
Dari setitik mani hinggalah mereka beraksi di padang
Kalau tidak, kita terus berhati walang
Kalau kita mula sekarang
Dua puluh tahun lagi kita ada juara yang bukan calang-calang
Agar di stadium, kita tidak dirundung kecundang malang
Bersorak gempita penuh riang
Anugerah gen juara kita gemilang
Tapi bukan sekarang, kena merancang


Rahmat Haroun Hashim
Doktor Kampung, Langkawi.




3 comments:

  1. Assalamu'alaikum Dr.
    Seronok jumpa blog Dr ni.

    ReplyDelete
  2. Selamat Datanng. Akan saya kunjungi anda. InsyaAlah.

    ReplyDelete
  3. boleh diolah jadi cerpen yang sangat menarik. Lagi pula kalau disusun dalam bentuk sinikal dan surrealis. Terhibur dan membuka mata saya membacanya.

    ReplyDelete